Bekas ADUN Kota Dahalan Aman Meninggal Dunia

SEREMBAN, 23 Dis – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dahalan Aman meninggal dunia hari ini di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini kerana mengalami pendarahan otak dan angin ahmar.

Ahli Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said mengesahkan Dahalan, 91, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.50 pagi tadi.

“Allahyarham mengalami pendarahan di otak dan angin ahmar selepas terjatuh di rumahnya pada Jumaat lepas sebelum dimasukkan ke HTJS untuk rawatan.

“Jenazah disembahyangkan di kediaman Allahyarham di Kampung Bongek, Rembau dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Bongek selepas solat Asar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Dahalan yang menyertai UMNO pada tahun 50-an, mewakili kawasan berkenaan selama tiga penggal sejak 1969 hingga 1982 selain pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua UMNO Negeri Sembilan Selatan pada tahun 1970-an.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak berusia 53 hingga 62 tahun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.