Penghijauan Malaysia: Kempen Lima Tahun Tanam 100 Juta Pokok Mula Tahun Depan

PUTRAJAYA, 22 Dis – Malaysia mengerakkan usaha penghijauan negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan selama lima tahun bermula tahun depan sehingga 2025.

Diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan jabatan perhutanan negeri, kempen itu melibatkan usaha menggerakkan masyarakat untuk bersama-sama kerajaan menanam pokok bagi mencapai sasaran itu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam sidang media selepas majlis pra-pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 di sini hari ini, berkata sebanyak 20 juta pokok disasarkan dapat ditanam di seluruh negara pada tahun pertama pelaksanaan kempen itu.

Beliau berkata jabatan-jabatan di bawah kementeriannya akan memfokuskan kepada penanaman pokok kebangsaan iaitu pokok Merbau dan spesis pokok yang semakin pupus manakala orang awam termasuk sektor swasta dan badan bukan kerajaan digalakkan menanam pokok berkayu dan berbatang.

“Tanamlah satu pokok. Kalau seluruh rakyat Malaysia tanam (pokok), ia akan mempercepatkan kita capai sasaran,” katanya.

Shamsul Anuar berkata pemantauan terhadap pelaksanaan kempen yang bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” itu akan dibuat menggunakan aplikasi Penghijauan Malaysia dan laman web www.100jutapokok.gov.my.

“Kedua-dua aplikasi mudah alih dan laman web ini boleh diakses oleh semua kementerian, jabatan dan orang awam yang berfungsi sebagai kaunter yang akan merekodkan jumlah pokok yang telah ditanam sepanjang kempen berlangsung,” katanya.

Agensi di bawah kementerian seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPMS) akan turut memantau pelaksanaan dan penjagaan pokok-pokok yang ditanam dalam kempen itu, katanya.

Mengenai kempen tersebut, Shamsul Anuar berkata ia dilaksanakan untuk menyebarluaskan kepada rakyat tentang kepentingan memelihara kawasan berhutan serta mengekalkan komitmen Malaysia semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio De Janeiro untuk mengekalkan sekurang-kurangya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan.

“Kempen ini juga bertujuan menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan hutan dalam usaha menangani isu perubahan iklim. Pokok yang ditanam akan memberikan manfaat kepada semua hidupan di muka bumi iaitu memberikan oksigen dan menyejukkan persekitaran termasuk juga menyumbang kepada pencapaian Matlamat ke-15 SDG (Matlamat Pembangunan Mapan) iaitu Life Of Land,” katanya.

Menurut beliau, majlis pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat kebangsaan akan disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jan di Seri Perdana di sini dan dilancarkan serentak oleh menteri besar dan ketua menteri di negeri masing-masing.

Pada majlis hari ini, Shamsul Anuar melancarkan logo rasmi kempen iaitu logo yang menggabungkan elemen tiga Pokok Merbau yang melambangkan keutuhan integriti hutan negara serta sebagai simbolik perpaduan tiga wilayah di Malaysia iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.