Pasukan NTF Perlu Diteruskan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) berjaya menangani kemasukan pendatang tanpa izin sepanjang pelaksanaan Op Benteng dan ia perlu diteruskan selepas penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jika dilihat keberkesanan NTF dalam melakukan Op Benteng, sering kali terdapat laporan bahawa ada penahanan dibuat ke atas pendatang tanpa izin menunjukkan kejayaan NTF dalam menjalankan tugas mereka.

“Sekiranya kes COVID-19 ini menurun pada masa akan datang nanti, pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mengadakan perbincangan bersama pihak atasan dalam NTF untuk meneruskan NTF ini atau sebaliknya.

“Pandangan peribadi saya berkenaan perkara ini, NTF perlu diteruskan kerana kita tidak boleh membenarkan negara kita dibolosi oleh sesiapa sahaja dan bukan sahaja sewaktu COVID-19 ini,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata jenayah rentas sempadan bukan sahaja berlaku sewaktu wabak COVID-19 melanda tetapi jenayah itu berlaku sepanjang masa dan negara perlu bertindak secara agresif mengatasinya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang berkata NTF telah membuktikan keupayaannya dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin di sempadan negara secara berkesan dalam tempoh COVID-19.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.