Malaysia Masih Belum Terima Laporan Strain Baharu COVID-19 UK – Dr Adham

KUALA TERENGGANU, 22 Dis – Kementerian Kesihatan belum menerima sebarang laporan penularan varian baharu virus COVID-19 dari United Kingdom (UK) di Malaysia, yang dikatakan merebak lebih cepat dan meluas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sekiranya terdapat laporan berkaitan virus berkenaan, jujukan genome akan dilakukan bagi mengenal pasti kehadiran varian selain mengambil tindakan mencegah perebakannya.

“Malaysia masih belum buka sempadan negara sepenuhnya kerana kita bimbang kes-kes COVID-19 dari luar negara seperti ini berlaku. Setakat ini, beberapa negara seperti Arab Saudi dan Jerman telah menggantung penerbangan dari United Kingdom disebabkan varian baharu virus itu.

“Dulu, Malaysia pernah berdepan dengan Kluster Sivagangga yang mana mutasi jenis D614G itu menyebabkan COVID-19 lebih mudah berjangkit…sebab itu, kawalan sempadan negara sangat penting ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian baharu itu atau nama saintifiknya VUI 202012/01 didapati mempunyai tahap jangkitan lebih tinggi iaitu sebanyak 20 peratus.

Sementara itu, Dr Adham memuji tindakan pantas serta kerjasama antara kerajaan negeri Terengganu dan petugas barisan hadapan negeri itu dalam mengasing dan merawat individu dikesan positif COVID-19 serta kontak rapat pesakit.

“Tindakan itu sangat berkesan dalam mengawal COVID-19 di Terengganu dan tahap pematuhan penduduk juga sangat baik. Program Pengurangan Risiko Daerah (DRCP) yang dijalankan juga terbukti berjaya memastikan tiada zon merah COVID-19 di Terengganu setakat ini.

“Program COMBI (Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku) dan Kospen (Komuniti Sihat Perkasa Negara) juga digerakkan untuk mendidik komuniti agar terus mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) bagi mengekang penularan COVID-19 secara berterusan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.