COVID-19: Perak Tingkat Kesiapsiagaan, Ambil Langkah Proaktif – Saarani

IPOH, 22 Dis – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad telah meminta semua pihak supaya tahap kesiapsiagaan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menghadapi segala kemungkinan dari pandemik COVID-19.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JKPBN) negeri Perak, selain menjalankan pelan pencegahan dan kawalan, JKPB juga melaksanakan empat langkah bagi menangani penularan COVID-19.

“Mengarahkan agar penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipertingkatkan lagi oleh agensi penguatkuasa memandangkan risiko pergerakan rakyat keluar dan masuk ke Perak dari zon merah dari luar negeri Perak dan berlakunya isu penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti yang tidak diketahui punca jangkitan.

“Mengarahkan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mengurus empat Pusat Kuarantin (Quarantine Station, QS) iaitu QS Hotel Eastana, Ipoh, QS Hotel Fair Park, QS Institut Latihan KKM Sultan Azlan Shah Ulu Kinta dan QS Institut Latihan KKM Sungkai.

“Bersedia membuka lebih banyak Pusat Kuarantin mengikut keperluan untuk menempatkan kontak rapat kes COVID-19 sekaligus mengekang penularan COVID-19 dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman rasmi Facebooknya.

Seterusnya, beliau juga meminta kerjasama pihak Jabatan Tenaga Buruh agar pemantauan pematuhan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 di kilang-kilang dipertingkatkan lagi kerana risiko berlaku kejadian kluster COVID-19 di kilang adalah tinggi.

“Selain itu, kerjasama antara jabatan dan agensi juga akan ditingkatkan dari semasa ke semasa termasuklah dengan MKN Negeri Perak, Polis Diraja Malaysia, APM Perak dan Jabatan Penerangan Negeri Perak.

“Ia bagi memastikan penguatkuasaan SOP dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di kawasan tumpuan awam sentiasa dipatuhi,” tambahnya lagi yang telah diberi taklimat penting dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri selain situasi terkini penularan pandemik COVID-19 oleh Pengarah Kesihatan Negeri.

Ulas Pengerusi UMNO Negeri Perak itu lagi, taklimat turut memperincikan langkah-langkah yang sedang dan akan dilaksanakan bagi membendung penularannya.

“Sehingga 20 Disember 2020, terdapat 5 daerah yang masih mencatatkan kes-kes semasa COVID-19 di Perak iaitu Daerah Kinta, Larut Matang Selama, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Muallim.

“Mukim Chemor dan Mukim Changkat Jong masih dikategorikan sebagai Zon Merah. Sehubungan itu, PKPB di kawasan berkenaan masih dikuatkuasakan sehingga 31 Disember ini,” katanya.

Manakala ujarnya lagi, enam daerah lain telah kembali menjadi daerah hijau berikutan tiada kes baru direkodkan sejak 14 hari yang lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.