Dewan Negara Zahir Takziah Kepada Keluarga Allahyarhamah Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Dewan Negara hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah, balu kepada Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein, yang meninggal dunia Jumaat lepas.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan Allahyarhamah Tun Rahah sebagai sendi kepada Allahyarham Tun Abdul Razak semasa hayatnya, yang membolehkan suaminya itu berkhidmat dengan cemerlang dan menjadi perdana menteri yang amat disegani pada zamannya.

“Allahyarhamah juga pastinya akan menjadi inspirasi kepada kelima-lima anaknya. Kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Tun Rahah, Dewan ini mengucapkan takziah dan berharap agar tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya sebelum memulakan persidangan Dewan Negara hari ini.

Rais turut meminta semua Ahli Dewan Negara beragama Islam berdiri dan membaca surah al-Fatihah, sementara yang bukan Islam pula bertafakur selama satu minit sebagai penghormatan.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, pada Jumaat dan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Lingkaran Makam Pahlawan Masjid Negara, Sabtu lepas.

Tun Rahah ialah ibu kepada perdana menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain Najib, empat lagi anak pasangan itu adalah Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam, Datuk Seri Mohamed Nazir dan Datuk Mohamed Nazim. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.