Sultan Selangor, Sultan Perak Berkenan Ziarah Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat tiba untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, tiba di masjid berkenaan pada 9.15 pagi, sementara Sultan Nazrin tiba bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada 9.50 pagi.

Antara tetamu kenamaan yang dilihat hadir pada upacara bermula pada 9 pagi itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, petang semalam.

Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob tiba kira-kira 10.15 pagi, selain beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang turut kelihatan di masjid tersebut.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Yeo Bee Yin (Bakri), Teresa Kok (Seputeh) dan ADUN Ketari (Pahang) Young Syefura Othman.

Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, turut kelihatan di masjid tersebut.

Orang ramai terdiri daripada berbilang kaum turut hadir di masjid berkenaan seawal 8.30 pagi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Upacara penghormatan terakhir itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak penularan COVID-19.

Syarat ketat seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka perlu dipatuhi semua yang hadir apabila masuk ke dalam masjid dan mereka tidak dibenarkan berada terlalu lama dalam rumah ibadat itu.

Tinjauan mendapati lapan khemah didirikan di tempat letak kenderaan masjid itu sebagai ruang menunggu kepada ahli keluarga mahupun orang awam sebelum masuk ke dalam masjid.

Orang ramai perlu mencatat nama pada buku pendaftaran atau menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke dalam masjid dan nombor angka giliran juga diberi kepada mereka.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah tiba di masjid berkenaan dari kediamannya pada 7.50 pagi untuk dimandi dan dikafankan.

Upacara penghormatan terakhir itu bermula sejak 9 pagi hingga 1 tengah hari ini.

Selepas urusan penghormatan terakhir itu, jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke Masjid Negara bagi Istiadat Pengebumian Negara. Jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara.- BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.