Jenazah Tun Rahah Tiba Di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah tiba di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini, pada 7.50 pagi ini.

Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum orang ramai dibenarkan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari ini.

Keadaan di masjid berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini.

Turut kelihatan di masjid tersebut ialah anak Alllahyarhamah, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri keenam

Selepas urusan penghormatan terakhir itu, jenazah Allahyarhamah Tun Rahah akan dibawa ke Masjid Negara bagi Istiadat Pengebumian Negara.

Jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia petang semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.