Melaka Cadang Laksana PKPD Di Pusat Koreksional Jasin

MELAKA, 18 Dis – Kerajaan negeri Melaka bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Jasin berikutan pertambahan kes jangkitan COVID-19 membabitkan banduan dan orang kena tahan (OKT) di institusi berkenaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata cadangan itu juga bagi menjalankan saringan kontak rapat secara menyeluruh, kuarantin kontak secara berpusat dan tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengelak penularan jangkitan kepada kakitangan penjara dan komuniti.

“Saya ingin menjelaskan peningkatan kes COVID-19 tertumpu di Pusat Koreksional Jasin dan tiada jangkitan di komuniti dan keadaan adalah terkawal memandangkan semua kes tertumpu di penjara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka di sini hari ini.

Sulaiman berkata siasatan mendapati punca berlaku penularan jangkitan COVID-19 di pusat koreksional itu disebabkan kemasukan banduan dan OKT baharu dari Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh dari Kluster Jalan Harapan dan jangkitan juga disebabkan kepadatan melebihi kapasiti.

Katanya, Melaka mencatatkan peningkatan kes COVID-19 mendadak sejak 12 hingga 17 Dis lepas dengan jumlah kumulatif individu disahkan positif adalah 551 kes diperolehi daripada aktiviti saringan bersasar dalam kalangan banduan baharu dan OKT yang ditempatkan di pusat itu.

“Pada masa ini, Pusat Koreksional Jasin telah dijadikan sebagai pusat transit bagi kemasukan baharu banduan khususnya banduan lelaki di Melaka selain Pusat Transit Tahanan A Famosa.

Beliau berkata terdapat kemasukan sebanyak 880 OKT dan banduan baharu ke Pusat Koreksional Jasin bermula 22 Nov hingga 16 Dis dan semua mereka telah menjalani saringan COVID-19.

Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6581 atau emel ke [email protected]. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.