KPT Guna Instrumen Setara Dan MyQUEST Dalam Penarafan IPT

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggunakan instrumen Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) dan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) dalam melaksanakan penarafan institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia tahun 2018/2019.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata penarafan SETARA dinilai melalui 38 indikator merangkumi empat fungsi teras utama iaitu umum, pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan dan perkhidmatan.

“Penarafan MyQUEST dinilai melalui 35 indikator merangkumi dimensi input, proses dan output yang memberi penekanan kepada lima teras utama iaitu kualiti dan kepelbagaian pelajar, kelestarian sumber dan kewangan, sistem pengurusan kualiti, pengiktirafan program dan pengiktirafan graduan serta reputasi institusi.

“SETARA dan MyQUEST menggunakan sistem penarafan bintang daripada skala satu ke enam bintang, iaitu enam bintang menunjukkan sesebuah IPT itu berada pada tahap cemerlang dan mempunyai daya saing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini berkata satu bintang pula menunjukkan IPT kurang berdaya saing dan tidak memenuhi kriteria minimum.

Beliau berkata IPT yang menyertai penarafan SETARA bagi sesi 2018/2019 adalah sebanyak 86 buah, manakala 207 kolej swasta pula menyertai penarafan MyQUEST bagi tahun yang sama.

“Bagi penarafan SETARA untuk tahun 2018/2019, lapan IPT berjaya mencapai enam bintang iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU) dan Monash University Malaysia.

“Sebanyak 30 IPT mendapat penarafan lima bintang, 30 IPT mencapai empat bintang, 15 IPT mencapai tiga bintang, dua IPT dengan penarafan dua bintang dan hanya sebuah IPT sahaja mendapat penarafan satu bintang,” katanya.

Noraini berkata bagi penarafan MyQUEST untuk tahun 2018/2019, 14 kolej swasta berjaya mencapai penarafan enam bintang antaranya Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Sunway (Kuala Lumpur), Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT), Kolej SEGi Kota Damansara dan Kolej Poly-Tech MARA Kuantan.

Beliau berkata 54 kolej lagi mendapat penarafan lima bintang, 88 kolej mencapai empat bintang, 40 kolej dengan tiga bintang dan 11 kolej diberi penarafan dua bintang.

“Kementerian akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan dan pemantapan ke atas SETARA dan MyQUEST selaras dengan perubahan persekitaran dan ekosistem pendidikan tinggi negara.

“Ia akan mengambil kira pembudayaan norma baharu dalam sistem penyampaian pendidikan, penekanan kepada agenda pendigitalan, teknologi pendidikan berasaskan Revolusi Industri 4.0 dan kriteria lain yang relevan. Penarafan seterusnya dirancang untuk dilaksanakan pada 2022,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.