DUN Perak Sebulat Suara Lulus Belanjawan Negeri

IPOH, 18 Dis – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini mencatat sejarah apabila Rang Undang-undang Perbekalan negeri 2021 atau Belanjawan negeri diluluskan sebulat suara selepas dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad pada Rabu lalu.

Belanjawan defisit itu yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.215 bilion diluluskan setelah dibahaskan oleh 12 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing enam daripada blok kerajaan dan enam lagi daripada pembangkang.

Saarani (BN-Kota Tampan) ketika mengulung perbahasan berkata di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diumumkan pada 29 Ogos lalu, sebanyak 146 tapak pemancar komunikasi baharu akan dibina selain menaik taraf 1,406 alat pemancar komunikasi di menara sedia seluruh negeri.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memberikan tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Pelbagai teknologi boleh digunakan di seluruh negeri Perak terutamanya di kawasan luar bandar agar kualiti perkhidmatan yang sama di semua kawasan dapat dinikmati,” katanya di sini, hari ini.

Selain itu, Saarani berkata bagi jalur lebar talian tetap pula, lebih 216,000 premis akan dinaik taraf kepada teknologi gentian optik yang akan memberikan capaian Gigabit dan semua inisiatif tersebut dijangka siap secara berperingkat sehingga 2022.

“Walaubagaimanapun, segala inisiatif pembangunan infrastruktur digital ini memerlukan kerjasama dari semua pihak, terutamanya di peringkat kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memudah cara proses dan kelulusan projek-projek yang telah dirancang serta bakal dilaksanakan,” katanya.

Menyentuh mengenai bantuan kepada mangsa banjir, Saarani berkata buat masa ini sebanyak RM300 diberikan kepada setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bencana.

Katanya bagi keluarga yang tidak berpindah ke PPS atau berpindah ke lokasi selain daripada PPS, mereka juga layak menerima bantuan pada kadar RM300 dengan syarat ketua keluarga perlu didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pendaftaran oleh JKM dibuat setelah mendapat pengesahan daripada penghulu mukim dan kelulusan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah atau Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri,” katanya.

Saarani berkata Pejabat Daerah dan Tanah akan menyalurkan sumbangan kepada setiap keluarga sekali sahaja sepanjang tempoh bencana, namun sebarang cadangan untuk penambahbaikan termasuk pemberian sumbangan lebih daripada sekali sepanjang tempoh bencana akan diteliti. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.