Bung Moktar Kemuka Cadangan Tubuh Majlis Presiden GRS Januari Depan

KOTA KINABALU, 18 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin akan mengemukakan cadangan, bagi menubuhkan Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada mesyuarat yang dijangka diadakan pada 11 Jan tahun depan.

GRS merangkumi gabungan Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah, membentuk kerajaan negeri selepas menang Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept lalu.

“Kami merancang untuk mengadakan mesyuarat pada 11 Jan ini. Ya, kami akan membincangkan mengenainya (cadangan penubuhan Majlis Presiden GRS),” katanya kepada pemberita selepas penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah bagi empat agensi kerajaan negeri di sini, hari ini.

Bung Moktar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan penubuhan Majlis Presiden GRS, seperti yang disuarakannya sebelum ini.

Sebelum ini, media melaporkan Bung Moktar percaya GRS perlu ada majlis presidennya sendiri, yang antara lain berperanan dalam membincangkan isu-isu berbangkit secara lebih mendalam ke arah memperkukuhkan lagi gabungan berkenaan.

Pada 28 Nov, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan, supaya pertemuan antara ketua parti yang membentuk kerajaan PN diadakan secara lebih kerap.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata mungkin sudah sampai masanya sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh ketua-ketua parti dalam PN, BN, GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diwujudkan, bagi membolehkan mesyuarat secara berkala diadakan untuk membincangkan perkara berkaitan dengan dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain. – BERNAMA