Allahyarhamah Tun Rahah Diberi Penghormatan Istiadat Pengebumian Negara

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Kerajaan memutuskan untuk memberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah iaitu isteri Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang kembali ke rahmatullah hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara esok.

“Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia menzahirkan takziah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh ahli keluarga atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarhamah Tun Rahah hari ini.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Tun Rahah dan menempatkan beliau bersama-sama golongan yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan.

Allahyarhamah berkahwin dengan Abdul Razak pada 4 Sept 1952, dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam dan Datuk Mohamed Nazim. – BERNAMA