Wakil Rakyat Minta Prabakaran Di Rujuk Ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Beberapa wakil rakyat kerajaan hari ini meminta Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa melanggar perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) apabila menghadiri sesi perbahasan dan pengundian di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata tindakan Prabakaran itu tidak seharusnya diambil mudah kerana ia boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan Ahli Parlimen lain sekiranya beliau didapati positif COVID-19.

“Ini merupakan pelanggaran syarat yang luar biasa, maka saya minta Speaker sendiri merujuk dia kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana hukuman daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berlainan,” katanya.

Turut menyokong cadangan Shahidan ialah Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) yang berpendapat Parlimen perlu mengambil tindakan dalaman kerana Ahli Parlimen mempunyai imuniti dan tidak boleh didakwa untuk sesuatu tindakan yang dibuat di Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun kemudian berkata beliau mengambil maklum perkara itu dan akan meneliti sama ada Prabakaran boleh dirujuk atau mengusulkan pemberitahuan mengenai perkara itu.

Terdahulu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Putrajaya) dan Datuk Seri Dr Santhara (Bersatu-Segamat) meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai tindakan yang patut diambil terhadap Prabakaran dan menyemak sesi pengundian yang dilakukan pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, Azhar menjelaskan tindakan menghukum atau mengkompaun mana-mana individu yang melanggar perintah KKM atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) bukan di bawah kuasa beliau.

“Sebenarnya pada hari Khamis itu, saya dan bentara-bentara tidak sedar perkara itu terjadi. Cuma selepas Khamis itu apabila disemak senarai mengundi itu, Ahli Parlimen Batu turut mengundi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menghukum atau mengkompaun, jadi saya nasihatkan kepada sesiapa yang ingin membawa perkara ini ke satu tahap yang lebih (jauh), saya nasihatkan membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan,” katanya.

Khamis lepas, Prabakaran dikatakan menyertai perbahasan dan pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), walaupun telah diarah menjalani perintah HSO. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.