Muafakat Nasional Sepakat Pelopori Penyatuan Ummah, Perpaduan Kaum Diutamakan

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Muafakat Nasional (MN) yang dipatrikan oleh UMNO dan PAS sepakat untuk terus mempelopori muafakat dan penyatuan ummah, tegas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersama Sekretariat MN berkata demikian selepas bersama-sama pimpinan UMNO dan PAS dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kerjasama UMNO-PAS, malam tadi.

“MN akan terus berperanan mempelopori betapa pentingnya muafakat dan penyatuan ummah. Segala usaha ke arah bersatunya umat Melayu dan Bumiputera mesti terus disuburkan. Perpaduan antara kaum mesti diutamakan,” katanya melalui ciapan dalam Twitter beliau.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menjelaskan bahawa menerusi mesyuarat ini, banyak perkara diperhalusi oleh UMNO dan PAS.

“Banyak perkara yang diperhalusi, namun kami sepakat bahawa kesatuan dan kesepaduan umat Melayu Islam di Malaysia amat bergantung kepada permuafakatan kukuh antara dua parti tunjang terbesar mewakili Melayu-Islam iaitu UMNO dan PAS,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kerjasama UMNO-PAS tersebut telah diadakan di Menara Dato Onn yang dipengerusikan bersama oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad.

September tahun lalu, tercatat sejarah yang cukup besar apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan MN yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejurus selesai ucapan kedua-dua presiden parti berkenaan di Dewan Merdeka pada Himpunan Penyatuan Ummah yang seterusnya bergerak ke seluruh negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.