5 RUU Dibawa Ke Sidang Dewan Rakyat Akan Datang

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Bacaan kali kedua dan ketiga bagi lima Rang Undang-Undang (RUU) dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan dan akan dibawa ke persidangan akan datang.

Mengemukakan usul itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata RUU tersebut adalah Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020; Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; dan Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020;

Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020; dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 turut ditangguhkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat.

Sementara itu, Takiyuddin berkata mesyuarat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan lima RUU termasuk Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020.

“Tanpa mengambil kira usul Peraturan Mesyuarat 12 (1) terdahulu iaitu Selasa lalu dan mengikut Peraturan 12 (1), saya mohon mencadangkan mesyuarat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibahas dan diputuskan Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020; Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020; Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 serta Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

“….serta usul Menteri Kewangan di nombor 11 hingga 14 seperti tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini dan selepas itu, majlis mesyuarat akan ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya.

Usul itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.