Saman PH Tidak Berasas, Sekadar Mahu Menyusahkan Musuh Politik? Soal Najib

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Berdasarkan kepada beberapa keputusan kes mahkamah yang berkaitan dana 1MDB, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyimpulkan jika responden tidak melawan, mahkamah akan membenarkan kerajaan lucut hak tetapi apabila pihak responden melawan, peluang untuk kerajaan kalah adalah amat tinggi.

Soal Najib, adakah ia bukti bahawa kerajaan terdahulu Pakatan Harapan (PH) semasa Tommy Thomas menjadi Peguam Negara telah menyalah gunakan kuasa mereka untuk memfailkan saman yang tidak berasas dan sukar untuk menang hanya sekadar mahu menyusahkan musuh politik mereka.

“Saya perhatikan kerajaan asyik kalah saman lucut hak dana kononnya dana haram 1MDB bila responden membantah dan melawan dalam mahkamah.

“Ini bermakna wang yang dibayar saya tidak dapat dibuktikan adalah dari 1MDB atau dari sumber haram,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyenaraikan beberapa pautan berita mengenai perkara berkaitan.

1. “Disember 2019: Kerajaan gagal lucut hak harta UMNO Kedah dan Habib Jewels” (pautan)

2. Februari 2020: Kerajaan gagal lucut hak harta UMNO, MCA, Syarikat Binsabi Sdn Bhd dan Syarikat Perano Sdn Bhd (pautan)

3. 9 Jun 2020: Mahkamah tolak lucut hak wang Jakel dan BN Johor Bahru (pautan)

4. 11 Jun 2020: Kerajaan kalah kepada Yayasan Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBAKM) (pautan)

5. “Ogos 2020: SPRM Gagal Lucut Hak Wang Dikait 1MDB Dari SUPP” (pautan)

6. “Sept 2020: SPRM gagal lucut hak RM700,000 milik UMNO Pekan” (pautan)

Namun tambah Najib, terdapat juga kes-kes di mana kerajaan menang saman lucut hak tetapi ianya terdiri daripada dua kategori, iaitu:

Kategori 1: Responden merupakan agensi atau badan yang dikawal kerajaan PH sendiri seperti Yayasan Penyelidikan Transformasi, Yayasan GENIUS (Permata), Yayasan Tun Hussein Onn dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

(Ya, kerajaan PH dulu saman kerajaan PH di mana kerajaan PH tak bantah kerajaan PH nak lucut hak wang kerajaan PH supaya wang kerajaan PH dibayar kepada kerajaan PH dan kos guaman dua belah kerajaan PH serta kos mahkamah dibiayai oleh kerajaan PH), ataupun

Kategori 2: Responden tidak melawan kes di mahkamah atau perjanjian penyelesaian dicapai – seperti kes Yayasan Rahah (perjanjian penyelesaian dicapai kerana saya tidak mahu ada tambahan prosiding mahkamah untuk saya hadir lagi) dan parti LDP (LDP setuju kerajaan lucut hak RM9k dan RM500k dikembalikan kepada parti),

Yayasan Rahah dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Pekan Ibrahim Awang mencapai penyelesaian bagi saman pelucuthakan berkaitan 1MDB terhadap mereka.

“Wang berjumlah RM9,560.96 disita SPRM daripada Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun baki wang berkenaan berjumlah RM500,000 yang turut disita SPRM, dikembalikan kepada parti. “18 Oktober 2019: LDP dapat baki wang RM500,000” (pautan)

Walaupun begitu tegas Najib, kes kerajaan PH dahulu mahu lucut hak wang dan barang-barang kemasnya masih belum sampai ke tahap perbicaraan walaupun sudah hampir tiga tahun disita kerajaan PH. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.