Warga Asing Ceroboh Negara Diisytihar Persona Non Grata

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kerajaan akan menggunakan undang-undang sedia ada termasuk ‘persona non grata’ dalam Op Benteng bagi mengekang kemasukan haram warga asing ke negara ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tindakan pendatang tanpa izin yang menceroboh masuk ke dalam negara menggunakan laluan tikus merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Op Benteng akan diusir selepas selesai melalui proses undang-undang iaitu didakwa dan dituduh di mahkamah atas kesalahan yang dilakukan sebelum menjalani hukuman.

“Selepas menjalani hukuman, contoh penjara lima tahun, mereka akan ditempatkan di depoh tahanan untuk proses dokumentasi dan sistem biometrik sebelum diusir ke negara asal mereka untuk selama-lamanya,” kata beliau pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di sini hari ini.

Persona non grata ialah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di sesebuah negara.

Ismail Sabri berkata sistem biometrik itu akan membantu pihak berkuasa mengenal pasti mereka yang telah melakukan kesalahan, sekali gus dapat menyekat pesalah terbabit daripada masuk semula ke negara ini.

Beliau berkata hingga semalam, seramai 14 pendatang tanpa izin ditahan menerusi Op Benteng yang dilaksana secara bersepadu di sempadan negara.

Ahad lepas, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata warga asing yang didapati terlibat dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytiharkan sebagai persona non grata.

Keputusan itu terpakai kepada semua warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen tanpa mengira jenis pas yang dimiliki, kata Khairul Dzaimee.

Perkara itu turut disokong Polis Diraja Malaysia apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam yang berkata pihaknya akan merujuk penjenayah warga asing yang disabitkan kesalahan di mahkamah, terutamanya ketua sindiket penipuan dan maksiat, kepada Imigresen untuk diisytiharkan sebagai persona non grata. – BERNAMA