PKPB: Sabah Agih 297,418 Bakul Makanan Setakat Ini – Shahelmey

KOTA KINABALU, 15 Dis – Sebanyak 297,418 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan memerlukan di 27 daerah seluruh negeri setakat hari ini, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shahelmey Yahya.

Shahelmey dalam kenyataan hari ini berkata pengagihan bakul makanan itu membabitkan daerah Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tawau, Sandakan, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Papar, Tuaran, Kalabakan, Ranau, Tambunan dan Kota Belud.

Bakul makanan turut diagihkan di Beaufort, Kuala Penyu, Kota Marudu, Tenom, Kinabatangan, Keningau, Kudat, Pitas, Sipitang, Nabawan, Beluran, Telupid dan Tongod.

Untuk hari ini sahaja, sebanyak 278 bantuan bakul makanan diagihkan melibatkan lapan daerah iaitu Tawau (93); Kota Belud (65); Papar (42); Putatan (25); Kinabatangan (16); Tenom (16); Ranau (15); dan Nabawan (enam), katanya.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan berasingan berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 239 kenderaan yang sedia digunakan bagi tujuan logistik COVID-19.

Beliau yang merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata 21 daripada kenderaan itu digunakan bagi membawa pesakit, 15 untuk menghantar bakul makanan, manakala baki 203 lagi untuk pelbagai dan bersedia digerakkan jika perlu.

Mengulas kadar pematuhan penduduk terhadap prosedur operasi standard sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini, Masidi berkata empat daerah di negeri ini mencatat 99 peratus kadar pematuhan iaitu Kinabatangan, Sipitang, Kota Belud dan Kota Kinabalu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.