Pemimpin Komuniti Diminta Periksa Penduduk Yang Perlukan Bakul Makanan – Bung Moktar

KINABATANGAN, 15 Dis – Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta pemimpin komuniti untuk memeriksa penduduk di kawasan mereka yang mungkin terlepas bakul makanan yang diagihkan kepada mereka yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata memandangkan ia kawasan Parlimen yang besar, wujud sedikit masalah dalam penyaluran bantuan makanan kepada semua yang memerlukan.

“Pengagihan bakul makanan di Kinabatangan dijalankan secara berperingkat, tetapi saya minta pemimpin masyarakat, seperti ketua kampung, untuk melaporkan kepada saya atau pegawai saya di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kinabatangan mengenai mereka yang terlepas pandang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berkata 500 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk di lima kampung di Penangah, sebuah kawasan terpencil di Tongod.

Kawasan Parlimen Kinabatangan adalah yang terbesar di Sabah, melibatkan daerah Kinabatangan (8,000km persegi) dan Tongod (10,051km persegi). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.