Kehadiran Ahli Parlimen Kuarantin Dapat Kelulusan KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kehadiran Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba, Datuk Seri M. Saravanan (Tapah) dan P.Prabakaran (Batu) yang menjalani tempoh perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) ke Dewan Rakyat semalam, telah mendapat kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Memaklumkan perkara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan telah menulis surat permohonan kepada Dr Noor Hisham.

“Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan melalui surat kepada ketiga-tiga Ahli Yang Berhormat tersebut bertarikh 14 Dis 2020 telah meluluskan permohonan untuk pelepasan masa menghadiri pengundian di Dewan Rakyat pada 14 Dis hingga 17 Dis 2020 dengan syarat-syarat ditetapkan.

“Kebenaran ini diberikan secara bertulis, saya ada salinan, kalau nak lihat boleh saya beri nanti,” katanya.

Terdahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) bangkit meminta penjelasan daripada Azhar berhubung kehadiran ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan.

“Apakah ini arahan Ketua Pengarah Kesihatan? Apakah buktinya? Apakah dengan arahan ini, semua peraturan yang dikenakan seperti sekatan 80 orang, penangguhan sidang, pemakaian PPE (pakaian perlindungan diri) dan duduk di atas (Galeri Awam) dan tidak ditetapkan oleh Yang Dipertua bahawa kerusi itu termasuk dalam kerusi orang yang boleh mengundi dalam proses pemilihan,” soal ketua pembangkang itu.

Semalam, ketiga-tiga Ahli Parlimen itu hadir ke sidang Dewan Rakyat dengan mengenakan PPE dan mencetuskan bantahan wakil rakyat pembangkang.

Sementara itu, Azhar menjelaskan kehadiran ketiga-tiga Ahli Parlimen itu akan dicatat oleh bentara dan mereka akan diiringi ke Galeri Awam Dewan Rakyat semasa pengundian dijalankan.

Menurutnya, pengecualian itu bukan perkara baharu sebaliknya turut diberikan kepada individu di bawah pengawasan (PUS) untuk menghadiri upacara pengebumian dan melawat pesakit di hospital bagi kes kecemasan.

Beliau turut membenarkan pemakaian PPE oleh ketiga-tiga Ahli Parlimen itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 41(F) serta mengambil kira situasi kesihatan dan keselamatan.

Dalam pada itu, Azhar memaklumkan Dr Adham yang juga Menteri Kesihatan telah menamatkan tempoh HSO semalam dan beliau dibenarkan ke Dewan Rakyat mulai hari ini, manakala Prabarakan boleh kembali ke dewan persidangan esok, selepas tempoh HSO berakhir hari ini.

Bagi Saravanan yang merupakan Menteri Sumber Manusia pula, hari terakhir menjalani HSO adalah sehingga Khamis ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.