Agong, Permaisuri Zahir Ucapan Takziah Pemergian Ungku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia petang tadi.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu itu.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada negara,” menurut Istana Negara dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya malam ini.

Hantaran itu turut menyatakan Seri Paduka Baginda dan Permaisuri menitipkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia kira-kira 4 petang tadi.

Jurucakap Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berkata perkara itu disahkan isterinya yang juga bekas Naib Yang Dipertua Angkasa Rahaiah Baheran.

Allahyarham yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922 adalah bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar yang kini merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.- BERNAMA