59 ADUN Diberi Taklimat Awal Belanjawan Perak

IPOH, 15 Dis – Semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil mereka diberikan taklimat Belanjawan Perak 2021 yang akan dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak esok.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, taklimat oleh Pegawai Kewangan Negeri dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak itu bertujuan memberi maklumat awal kepada setiap wakil rakyat mengenai pembentangan Belanjawan tersebut.

Katanya, maklumat itu boleh diguna pakai untuk tujuan rujukan mahupun sebagai isi dalam perbahasan belanjawan berkenaan.

“Sebelum ini, kita ada buat taklimat tetapi selepas elanjawan dibentangkan dan untuk tahun hadapan kita buat lebih awal sedikit supaya semua ADUN boleh buat rujukan di tempat lain.

“Taklimat yang diadakan hari ini bukan kandungan sepenuhnya belanjawan yang akan dibentangkan esok, sebaliknya ia maklumat awal.

“Jadi kita harap apabila ADUN yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu nanti, mereka membahaskan kepada angka dan fakta yang diberikan oleh Pegawai Kewangan Negeri dan Pengarah UPEN,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis taklimat Belanjawan Perak 2021 kepada ADUN negeri di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Mengenai jumlah pembahas pada sidang DUN Perak yang bermula esok, Saarani berkata, tiada jumlah pembahas yang ditetapkan kerana ia bergantung kepada keputusan Speaker DUN Perak.

“Amalan yang sepatutnya berlaku dalam mana-mana sidang Dewan Rakyat atau negeri, kita tidak menetapkan bilangan orang bergantung kepada siapa yang ingin berbahas. Biasanya mereka akan maklumkan kepada Speaker DUN.

“Terpulang kepada beliau untuk menentukan waktu seseorang itu mengambil bahagian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.