Portfolio Exco Perak Ditetapkan Selepas Lengkap 10 Pelantikan

IPOH, 14 Dis – Penetapan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak akan dibuat selepas lengkap pelantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk jawatan berkenaan, kata Menteri Besar Perak yang baharu Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata lima Exco yang ada sekarang tidak mampu untuk melaksanakan agihan tugas sekiranya penetapan portfolio diberikan kerana mereka bertanggungjawab terhadap beberapa kementerian.

“Kita hanya akan buat (penetapan portfolio) apabila telah penuh senarai 10 Exco kerana berdasarkan pengalaman pada 2009 jika senarai belum penuh (Exco memangku portfolio lain) kita akan tempang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Pada Khamis lepas, lima ADUN mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah.

Empat daripada lima ADUN yang mengangkat sumpah merupakan Exco di bawah pentadbiran sebelum ini iaitu Datuk Zolkafly Harun (BN-Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota). Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) yang turut dilantik merupakan muka baharu.

Barisan Exco Perak terbubar selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 5 Dis lepas, setelah beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.

Menerusi usul yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan DUN 4 Dis itu, Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.