Tempoh Kuarantin Pengembara, Kontak Rapat Dipendekkan Kepada 10 Hari Mulai Esok

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Berkuat kuasa esok, tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman.

“Semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.

“Kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai situasi semasa COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, beberapa negara telah menyemak semula tempoh kuarantin wajib masing-masing.

“United Kingdom, Jerman dan Belgium telah menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari manakala Perancis pula telah mengambil tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari,” katanya.

COVID-NOOR HISHAM (KUARANTIN) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
TEMPOH KUARANTIN PENGEMBARA – 2
Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sidang media pada 4 Dis lepas telah mengumumkan untuk mengkaji langkah memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif COVID-19.

Katanya ini adalah selaras dengan situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan KKM mengenal pasti enam kluster baharu hari ini melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, Johor, Negeri Sembilan serta Pahang.

Beliau berkata Kluster Hujung Pasir merupakan kluster berkaitan tempat kerja di Wilayah Persekutuan Labuan dan kes indeks bagi kluster ini telah dilaporkan positif pada 12 Dis lepas hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 13 Dis, sejumlah 143 individu telah disaring dan lima kes telah dikesan positif COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua yang dikenal pasti ialah Kluster Lestari yang berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi melibatkan daerah Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang di Selangor serta daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kes indeks bagi Kluster Lestari telah dilaporkan positif COVID-19 pada 8 Dis lepas hasil saringan individu bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan sehingga hari ini, sejumlah 351 individu telah disaring dan 31 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Beliau berkata Kluster Idaman pula berkaitan keagamaan melibatkan daerah Kulai di Johor dengan kes indeks bagi kluster ini merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang telah dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Dis lepas dan dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Setakat ini, sejumlah 52 individu telah disaring dan lapan kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tapak Bina Rimbun adalah berkaitan tapak binaan di daerah Seremban dengan kes awal dikesan pada 10 Dis lepas hasil saringan bersasar tempat kerja dengan terkini 16 kes dikesan positif COVID-19.

Kluster Tanjung Suria pula melibatkan daerah Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor dengan kes awal dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Dis lepas hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan dua kilang.

Sehingga kini, sebanyak 8,480 individu telah disaring dengan 31 kes dikesan positif dalam kluster ini. Beliau berkata Kluster Kuala pula melibatkan daerah Kuantan, Pahang dengan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Dis lepas hasil saringan individu bergejala dan sehingga kini, 26 kes dikesan positif COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.