RM11.26 Juta Bagi Teruskan Inisiatif Heart Of Borneo – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Kerajaan komited meneruskan inisiatif Heart of Borneo (HoB) dengan meluluskan peruntukan berjumlah RM11.26 juta bagi melaksanakan projek dan aktiviti di bawah inisiatif itu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tahun depan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata kesinambungan pelaksanaan HoB di bawah RMK12 itu amat penting selaras dengan matlamat pengurusan hutan secara berkekalan dan usaha konservasi kepelbagaian biologi di kepulauan Borneo dan Malaysia.

Katanya hingga kini kerajaan telah menyalurkan RM90.3 juta di bawah RMK9 hingga RMK11 bagi membiayai projek di bawah inisiatif HoB di Sabah dan Sarawak.

“Semenjak deklarasi HoB ditandatangani pada 2007, pelbagai usaha dan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan di kawasan yang telah dikenal pasti di bawah inisiatif HoB telah dilaksanakan oleh Malaysia, Brunei dan Indonesia.

“Beberapa siri rundingan, mesyuarat dan seminar mengenai HoB juga telah diadakan sebagai platform untuk ketiga-tiga negara bertukar-tukar pengalaman, idea serta membincangkan isu-isu yang menyentuh kepentingan bersama mengenai HoB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata antara pencapaian membanggakan sepanjang 13 tahun pelaksanaan inisiatif itu ialah pertambahan keluasan kawasan HoB Malaysia di Sarawak dari 2.1 juta hektar kepada 2.7 juta hektar dan peningkatan keluasan Totally Protected Areas (TPA) di Sabah sebanyak 125,865 hektar.

Selain itu, penganjuran International HoB Conference secara tahunan oleh kerajaan negeri Sabah telah menjadikan acara tersebut sebagai sebuah program flagship di bawah inisiatif HoB Malaysia.

“Saya merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak atas usaha dan komitmen berterusan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif HoB ini.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli selaku Pengerusi Kumpulan Kerja Pakar HoB dan national focal point bagi inisiatif ini akan terus komited dan menyokong penuh pelaksanaan inisiatif HoB sebagai antara projek nasional,” katanya.

Malaysia, Brunei dan Indonesia sepakat menandatangani Deklarasi Heart of Borneo (HoB) pada 2007 demi memastikan khazanah semula jadi di kepulauan Borneo seperti flora dan fauna, diuruskan secara berkekalan.

Jumlah keluasan kawasan yang terbabit di bawah Inisiatif HoB ialah 20 juta hektar dengan 6.8 juta hektar terletak di Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.