Tindakan Berteraskan 5D Kembalikan Kegemilangan Melaka – Sulaiman

MELAKA, 11 Dis – Kerajaan negeri memperkenalkan tindakan berteraskan 5D iaitu Dimension, Deliver, Dynamic, Direction dan Doa dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan Melaka sebagai kota perniagaan antarabangsa dan pusat pengembangan tamadun Islam dunia suatu ketika dahulu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata tindakan yang mencakupi pembaharuan, usaha, inisiatif, program dan perancangan strategik telah, sedang serta akan dilaksanakan itu bersifat kejayaan segera mahupun kejayaan besar bagi menghasilkan pulangan besar yang cepat.

“Perkara Dimension ini akan membina halatuju Melaka Rumahku yang komprehensif serta holisitik dengan di dalamnya terkandung visi Menuju Negeri Lestari, lima misi berasaskan T.E.R.A.S (teknologi, entrepreneurship, revolusi industri dan ekonomi, antarabangsa dan sejahtera), ada enam pemboleh daya yang salah satunya menyebut tentang kemapanan ekonomi dan dilingkari kesemuanya itu untuk mencapai kecemerlangan duniawi serta ukhrawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Undangan Negeri Melaka bertemakan ‘Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia’ di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata perkara Deliver antaranya membabitkan peruntukan Belanjawan 2021 kepada setiap 28 ADUN dapat digunakan untuk masyarakat terutama bagi meringankan beban hidup rakyat Melaka ketika ini.

“Selain itu, saya mahu semua kakitangan kerajaan negeri Melaka seramai 7,553 orang dan 32,015 kakitangan kerajaan persekutuan di Melaka memastikan segala inisiatif diumumkan dalam Belanjawan 2021 Negeri Melaka, dapat dilaksanakan secepat dan sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat serta kemakmuran ekonomi Melaka.

“Bagi perkara Dynamic pula, kita termasuklah penjawat awam perlu komited, cekap dan kompeten dengan kerja yang ditugaskan walau ke mana kita ditempatkan, kita mampu mengekalkan malah menambah baik produktiviti dan mutu kerja yang dilakukan serta mencapai tahap piawaian ditetapkan,” katanya.

Sulaiman berkata di bawah perkara Direction terdapat tiga pendekatan iaitu ‘Setiap Hari Adalah Hari Bertemu Rakyat’ bagi memberi ruang kepada setiap ADUN untuk datang berbincang dengan beliau, Rakan Strategik iaitu bersama-sama pembangkang memajukan Melaka dan penubuhan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) sebagai penukar permainan kepada landskap ekonomi negeri.

“D yang terakhir ialah Doa. Kita sama-sama berdoa, mudah-mudahan Allah SWT akan kurniakan rezeki yang melimpah kepada rakyat dan negeri Melaka,” katanya.

Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh belum ditetapkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.