Lebih 24,000 Penerima Bantuan Kewangan JKM Di Melaka

MELAKA, 11 Dis – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka telah memberi bantuan kewangan bulanan kepada 24,530 orang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar berkata daripada jumlah itu, daerah Melaka Tengah merupakan penerima bantuan kewangan paling ramai iaitu 11,476 orang, diikuti Alor Gajah (6,688) dan Jasin (6,366).

Latipah berkata kerajaan negeri yang bermesyuarat pada 16 April lepas memutuskan bahawa semua permohonan baharu bantuan kewangan JKM perlu mendapat sokongan daripada Ahli DUN (ADUN) bagi tujuan sokongan dan penyelarasan maklumat bantuan.

“Inilah masanya penerima berjumpa wakil rakyat masing-masing dan ADUN melihat sendiri keadaan pemohon bagi mengelak perasaan was-was dan salah sangka kerana ada yang mengambil kesempatan, apabila kita semak pemohon adalah orang luar.

“Antara sebab penerima bantuan tidak menerima atau ditamatkan pemberian bantuan kewangan JKM iaitu meninggal dunia, mampu berdikari, tidak layak lagi menerima bantuan kerana mempunyai pendapatan melebihi garis kemiskinan,” katanya ketika menjawab soalan Damian Yeo Shen Li (DAP-Duyong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kompleks Seri Negeri di sini.

Damian ingin mengetahui mengenai jumlah penerima bantuan kewangan JKM Melaka dan keperluan ADUN menandatangani surat permohonan bantuan baharu pemohon. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.