Episod Politik Perak Satu Ujian, Penyelesaian Harmoni Tanpa Ada Perpecahan – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata episod politik Negeri Perak yang mencapai penyelesaian harmoni melibatkan tiga buah parti iaitu UMNO, PAS dan Bersatu membuktikan kematangan dan persefahaman yang kukuh.

Katanya, inilah tiga parti besar yang membentuk Kerajaan Persekutuan dan dapat melalui ujian dengan satu pengakhiran yang tidak berlaku perpecahan sama ada di peringkat negeri ataupun pusat.

“Dalam mana-mana persahabatan akan ada ujian dan andaikata persahabatan itu kukuh, utuh dan berasaskan keikhlasan maka insya-Allah akan dapat menghadapi ujian sebagaimana kita berdepan episod Negeri Perak.

“Sesuatu perkara itu perlu dilihat dari sudut positif dan mungkin inilah ujiannya. Kalau kita UMNO/PAS rapat sebagaimana 22 bulan semasa kita dalam blok pembangkang maka itu bukan ujian sebab senang… tak ada perkara duniawi yang dihidangkan untuk kita diuji dan selepas 1 Mac 2020 telah ada beberapa ujian.

“Walaupun sekarang ini ada beberapa persoalan tertentu timbul, memang timbul dan sedang ditimbulkan dengan perlu penyelesaian tetapi saya yakin bahawa pada pengakhirannya bukanlah perpecahan tetapi penyatuan yang lebih kukuh, insya-Allah,” katanya.

Shahril berkata demikian dalam “Bicara Harakah: Hala Tuju MN/PN Dalam Krisis Politik Perak” yang turut disertai Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, malam tadi.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohammad telah mengangkat sumpah sebagai menteri besar baharu Perak hasil persetujuan bersama oleh PAS dan Bersatu.

Dalam hal ini, Shahril menzahirkan rasa syukur kerana kemelut yang berlaku di Perak dapat diselesaikan melibatkan tiga buah parti yang membentuk persefahaman biarpun dikatakan ada parti lain juga turut disebut-sebut.

“Saya lihat episod di Perak ini, Alhamdulillah sudah selesai apabila menteri besar angkat sumpah dan exco-exco juga demikian. Penyelesaian yang harmoni melibatkan tiga parti yang membentuk kerajaan negeri di Perak iaitu tiga parti besar juga yang membentuk kerajaan Persekutuan.

“Ujian ini datang sebagai satu pengalaman yang benar-benar menguji kematangan, keikhlasan dan toleransi semua pihak. Adakah akan ada implikasi dan kesan hasi dari situasi di Perak, maka saya jawab ya kerana akan ada lagi kesan-kesan yang memerlukan pengurusan dari ketiga-tiga pihak untuk memastikan perkara ini selesai secara elok tetapi sekurang-kurangnya ujian pertama sudah dapat diurus dengan tidak ada perpecahan sama ada di Perak atau di Pusat.”

Sehubungan itu beliau yakin, daripada pengalaman tersebut akan dapat membina satu persefahaman yang lebih kukuh.

“Kita akui bahawa UMNO tak boleh suka-suka mengubah ikatannya dengan mana-mana parti semata-mata untuk memanjangkan atau mencapai aspirasi politik UMNO. Kita tak boleh semata-mata nak kuasa maka kita tak ada langsung garis merah dalam diri kita.

“Penterjemahan apa yang saya sebut tadi, alhamdulillah dalam kes negeri Perak tidak berlaku sebagaimana yang diwar-warkan iaitu UMNO menjadi kerajaan negeri dengan sokongan dari parti lain selain dua parti hari ini iaitu PAS dan Bersatu.”

Dalam hal ini, beliau berkata ujian dalam persahabatan tentunya tidak akan setuju dalam semua perkara tetapi apa yang perlu fokus adalah pengakhirannya.

“Pengakhirannya kerajaan antara tiga parti di Perak ini adalah kekal dan yang berubah adalah menteri besarnya. Itulah yang harus kita fokuskan, bergerak ke hadapan.

“Barangkali ada pengajaran-pengajaran kepada kita, UMNO, PAS Bersatu supaya episod-episod yang berlaku tempohari diminimakan atau ditiadakan sama sekali.

“Saya melihat ujian kepimpinan, ujian kematangan dan kemahiran kerana kita tak boleh nafikan bahawa pemimpin ini perlu mengimbangi dua keperluan. Satu tak boleh terlalu jauh dengan akar umbi misalnya dalam UMNO tak boleh hilang imej dari suara akar umbi dan satu lagi keperluan untuk menenangkan kepimpinan, ada keperluan untuk menzahirkan aspirasi politik parti saya, ada yang boleh panaskan tetapi masalah tak akan selesai jika kita terus pilih untuk saling memanaskan… krisis tak akan selesai. Kita mulakan permulaan baharu.

Jelas Shahril, pengalaman dua tiga minggu ini memberi kematangan kepada parti-parti yang saling bersahabat untuk terus membentuk persefahaman.

“Ada masa kita tekan brek… ada masa kita tukar gear dan ini adalah isyarat kepada ketiga-tiga parti. Inilah keperluan. Kita perlu tunjukkan kematangan dan kita tidak mahu kepada perpecahan. Rakyat hari ini tak minat sangat soal persaingan antara parti politik dan tak mahu tahu mana yang lebih banyak atau lebih kuat sebaliknya apa pengakhiran kepada rakyat.”

Dalam masa yang sama, Shahril turut menyentuk berkaitan masa hadapan Muafakat Nasional (MN).

“Kita kena isi MN ini dengan satu semangat yang melangkaui soal parti politik, yang berteraskan nasionalis. Isi dengan dasar, apa yang kita nak buat tentang negara kita, dasar luar kita, ekonomi negara kita. Lebih mudah kalau kita ada pengisian kerana ini perjuangan untuk jangka masa panjang dan bukan hanya untuk PRU-15 sahaja,” katanya lagi yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.