Akses Sejagat Untuk Memperoleh Vaskin Yang Mampu Milik Adalah Penting – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Pemvaksinan adalah hak asasi manusia yang harus dihormati, dilindungi dan dipenuhi, kata Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Justeru, katanya akses sejagat kepada vaksin yang mampu dimiliki, mudah diperoleh dan mencukupi untuk semua adalah penting.

Beliau berkata, kerjasama di peringkat antarabangsa amat mustahak ketika ini untuk memastikan koordinasi yang efektif dan tindak susulan terhadap usaha dan sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mempromosi dan memastikan akses global terhadap ubat-ubatan, vaksin dan peralatan perubatan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurutnya, atas semangat itulah Malaysia telah menyertai pelan kemudahan vaksin COVID-19, iaitu Vaccine Global Access (COVAX) dan bekerjasama dengan negara-negara di seluruh dunia untuk memastikan bahawa vaksin harus dijadikan sebagai barangan awam global.

“Dunia sedang menunggu dengan penuh sabar mengenai perkembangan vaksin yang selamat dan berkesan untuk mencegah COVID-19 dan beberapa negara juga telah memulakan rancangan di peringkat nasional dalam menghasilkan (vaksin) sendiri atau mengambil bahagian dalam Fasa Tiga Ujian Klinikal.

“Meskipun ini adalah sesuatu perkembangan yang positif, namun risikonya mungkin akan menyebabkan belakunya persaingan global yang akan meningkatkan harga vaksin dan rawatan perubatan lain yang sekali gus akan mempengaruhi usaha kita ke arah keimunan global,” katanya dalam ucapan perasmian pada Forum Secara Maya Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2020, bersempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia telah mengenal pasti kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19, didapati menjejaskan lebih ramai wanita berbanding lelaki maka polisi responsif gender di bawah pakej rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah dilaksanakan, termasuk bantuan tunai untuk ibu tunggal, subsidi penjagaan anak dan urusan kerja yang fleksibel.

“Kami juga memberi fokus untuk menangani peningkatan kes-kes jenayah kekerasan terhadap gender semasa pandemik dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi dan menjaga golongan wanita dengan mengadakan talian bantuan, advokasi secara dalam talian, tempat perlindungan dan memberikan khidmat kaunseling.

“Kebajikan golongan migran, pelarian dan orang-orang tanpa kewarganegaraan yang ada di Malaysia juga tidak dilupakan serta diberi layanan sama rata dengan kemudahan kepada akses pemeriksaan kesihatan percuma dan rawatan perubatan berkaitan COVID-19 yang disediakan untuk semua warga negara asing, tanpa mengira status imigresen mereka,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tetap komited untuk melaksanakan cadangan yang diterima semasa Semakan Berkala Sejagat ke-3 (UPR) pada November 2018, dan untuk tujuan ini, perundingan dwitahunan dengan pelbagai pihak, yang melibatkan semua agensi, akademik dan masyarakat sivil, telah beinstitusi.

“Daripada rundingan ini, kita menyedari bahawa perlunya untuk meningkatkan mekanisme pemantauan dan telah setuju untuk menggunakan Pangkalan Data Penjejakan Cadangan Nasional (NRTD) yang dikembangkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR), kerana akan memudahkan pemantauan dan koordinasi antara agensi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.