PahangGo Kini Boleh Diakses Tanpa Telefon Pintar

KUANTAN, 9 Dis – Kerajaan Pahang hari ini melancarkan laman web app.PahangGo.com sebagai alternatif kepada aplikasi mudah alih yang diperkenalkan sebelum ini bagi membolehkan rakyat menggunakan perkhidmatan setempat PahangGo tanpa telefon pintar.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata aplikasi PahangGo banyak membantu memudahkan penduduk menyelesaikan urusan tanpa perlu ke kaunter, sekali gus menjimatkan masa dan kos.

“Antara urusan yang boleh dibuat melalui aplikasi PahangGo ialah pembayaran bil Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), cukai tanah, cukai taksiran dan pembayaran kompaun pihak berkuasa tempatan.

“Adanya laman web ini, kita berharap orang ramai lebih selesa untuk berurusan dan langkah ini juga sesuai dengan situasi pandemik wabak COVID-19 yang menggalakkan orang ramai berada di rumah,” katanya kepada pemberita di Wisma Sri Pahang di sini.

Aplikasi mudah alih PahangGo diperkenalkan Oktober tahun lepas.

Sementara itu, Mohammad Fakhruddin berkata pihaknya turut mengalu-alukan maklum balas dan cadangan orang ramai berhubung Pelan Digital Pahang 2021-2025 yang boleh dikemukakan menerusi laman web pelandigital.PahangGo.com.

Katanya semua cadangan itu akan dipertimbangkan bagi menambah baik pelan yang sedang dirangka kerajaan negeri yang dijadualkan dilancar pada Februari tahun depan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.