Naik Taraf Pengurusan Sisa Pepejal Bagi Perbaiki Imej Pelancongan Negeri – Pemuda UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 9 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah berpendapat pihak kerajaan negeri perlu mensasarkan hala tuju yang lebih kompetitif dan proaktif di dalam mendepani situasi ekonomi global pasca COVID-19 terutamanya di dalam memperbaiki imej di peringkat global dalam konteks pengurusan sisa pepejal di mana sampah-sarap di sekitar destinasi utama pelancong akan merosakkan imej negeri itu dan ia perlu ditangani dengan segera.

Dalam konteks itu, Ketua Penerangannya, Mohd Kurniawan Naim Moktar merujuk kepada kualiti pengurusan sisa pepejal di beberapa kawasan yang menjejaskan imej pelancongan negeri terutamanya di Pulau Gaya (Teluk Bangkat), Sembulan – Tanjung Aru, dan Inanam – Likas Bay yang pernah ditularkan oleh pelancong.

“Maka, tahap pengurusan sisa pepejal perlu ditingkatkan menerusi langkah-langkah dan strategi-strategi pengurusan yang efektif. Secara asasnya, terdapat enam metod pengurusan sisa pepejal iaitu; (1) mencegah dan mengurangkan penjanaan sisa pepejal, (2) kitar semula, (3) insinerasi, (4) pengkomposan, (5) tapak pelupusan dan, (6) pelupusan di lautan.

“Namun, bagi mengelakkan ancaman kepada hidupan laut, pelupusan di lautan tidak sewajarnya dilakukan. Kita perlu mencontohi negara-negara seperti Jerman, Korea Selatan, Sweden, Jepun, Switzerland dan Belanda yang melaksanakan polisi mencegah dan mengurangkan penjanaan sisa pepejal, kitar semula, dan insinerasi di dalam pengurusan sisa pepejal.

“Sonseneo Global Waste Index telah menyenaraikan 15 negara yang mencatatkan indeks pengurusan sisa pepejal di atas paras 80% di mana Malaysia yang terkenal dengan sektor pelancongan telah gagal tersenarai. Maka, pembangunan dan naik taraf di dalam pengurusan sisa pepejal di negeri Sabah perlu dilakukan dalam tiga bentuk iaitu pengurusan, teknologi dan mentaliti komuniti,” jelasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu lagi, dalam konteks teknologi, kerajaan perlu membangunkan teknologi insinerasi di beberapa kawasan memandangkan negeri Sabah memiliki keluasan geografi yang besar.

“Teknologi insinerasi boleh dibangunkan dalam tiga bentuk iaitu anaerobic digestion, gasification dan pyrolysis. Namun, kerajaan perlu mengenalpasti teknologi yang bersesuaian dalam aspek kesesuaian, kos pelaksanaan dan risiko pencemaran yang paling minimum.

“Dalam konteks pengurusan pula, kerajaan perlu mengambil inisiatif di dalam menangani pencemaran di Pulau Gaya (Teluk Bangkat), Sembulan – Tanjung Aru, dan Inanam – Likas Bay.

“Contohnya, pungutan sampah-sarap menggunakan bot-bot yang diperuntukkan khas untuk membersihkan kawasan-kawasan persisiran lautan dan pulau-pulau. Penggunaan bot-bot memungut sampah di ketiga-tiga kawasan tersebut berupaya membasmi krisis sampah-sarap yang memalukan negeri Sabah,” katanya.

Manakala dalam konteks mentaliti komuniti, beliau memohon agar seluruh rakyat bersama-sama melindungi alam sekitar.

“Kita perlu membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar bagi menjamin kelestarian alam sekitar di samping memperbaiki imej pelancongan negeri Sabah di peringkat global.

“Jika Serbia yang merupakan negara termiskin di Eropah boleh memiliki sungai yang bersih dengan kualiti air yang selamat untuk diminum tanpa dimasak atau diproses, mengapa tidak Sabah? Soalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.