COVID-19 Beri Banyak Pengajaran – Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pandemik COVID-19 memberi banyak ruang untuk mengambil iktibar terhadap kesediaan dan ketahanan sistem penjagaan kesihatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata kemampuan Malaysia yang kukuh dalam kesediaan dan respons terhadap wabak itu membantu kementerian memerangi pandemik berkenaan.

“Kementerian Kesihatan telah mengakui bahawa persekitaran penjagaan kesihatan pada masa ini mewujudkan beberapa cabaran fiskal.

“Sistem penjagaan kesihatan bersepadu akan menyediakan penjagaan kesihatan yang baik kepada rakyat Malaysia dengan berkesan dan efisien,” katanya dalam ucap tama pada pelancaran persidangan maya Pengurusan Pendapatan Digital dalam Penjagaan Kesihatan Pascapandemik COVID-19 di sini hari ini.

Dr Adham berkata untuk melakukannya, digitalisasi boleh memainkan peranan penting dalam mencapai kelestarian kewangan.

“Kita perlu menyelaraskan secara sistematik keseluruhan spektrum perkhidmatan penjagaan kesihatan, daripada penjagaan primer, tertier ke pertengahan dan jangka panjang untuk mencapai matlamat rawatan berpusatkan pesakit.

“Saya gembira dapat melihat perkembangan yang dicapai beberapa tahun ini dan, dengan kemajuan infrastruktur yang ada, kita boleh meneroka dengan membawa rawatan kesihatan terus ke rumah pesakit menerusi telekesihatan atau telerundingan,” katanya.

Beliau berkata inovasi ini akan meningkatkan kemudahan dan akses kepada nasihat tepat pada masanya.

“Tahun 2020 ini menjadi sukar kerana pandemik ini bukan sahaja meragut nyawa tetapi juga memberi kesan kepada ekonomi kita. Sempadan baharu dibuat berdasarkan krisis yang tidak pernah terjadi sebelum ini di dunia dan beralih ke norma baharu melalui kehidupan harian dan amalan perniagaan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.