Pendakwaan Tidak Terus Kes, Ku Nan Dilepas Tanpa Dibebas

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2013.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memaklumkan bahawa pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Tengku Adnan, 69.

“Terdapat perkembangan baharu dalam kes ini yang perlu disiasat dengan lebih lanjut. Pihak pendakwaan juga tidak mahu membazirkan masa mahkamah kerana tidak tahu tempoh masa yang perlu diambil untuk menyiasat perkembangan terbaharu itu.

“Pihak kami tidak boleh maklumkan secara terperinci. Apa yang boleh diberitahu ialah terdapat aduan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan seorang saksi dalam kes ini.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon perintah supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan ini,” kata Julia.

Perbicaraan kes itu yang bermula pada 20 Sept 2019 dengan pihak pendakwaan telah memanggil dua saksi sepatutnya bersambung hari ini untuk saksi memberi keterangan.

Pada 15 Nov 2018, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai ‘Ku Nan’ mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akauan CIMB Bank kepunyaan Tengku Adnan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak di sini diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam Tengku Adnan, Datuk Tan Hock Chuan memohon agar anak guamnya diberikan pembebasan penuh.

“Anak guam saya ditahan pada 14 Nov 2018 dan beliau mula-mula dituduh di Mahkamah Sesyen pada 15 Nov tahun sama. Beliau menghadapi pertuduhan ini sudah hampir dua tahun.

“Pihak pendakwaan juga tidak memberikan tempoh masa yang jelas tentang berapa lama yang akan diambil oleh mereka untuk menyiasat perkembangan baharu ini,” kata Tan.

Peguam itu berkata mahkamah berkenaan boleh menuruti jejak langkah kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini seperti kes bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kes pembelian banglo) yang masing-masing dilepaskan dan dibebaskan.

“Saya dengan rendah diri memohon mahkamah memberikan pembebasan penuh kepada anak guam saya,” katanya.

Ahli Parlimen Putrajaya menghadapi pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya berjumlah RM1 daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon yang telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan bersubahat dengan ahli politik itu dan didenda RM1.5 juta.

Wang tersebut telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Tengku Adnan sebagai dorongan untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd meningkatkan nisbah keluasan tanah syarikat itu berhubung projek pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tengku Adnan juga menghadapi tuduhan pilihan, iaitu dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima wang RM1 juta untuk dirinya daripada Tan melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB beliau, sedangkan beliau mengetahui bahawa Tan, sebagai pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd, mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bermula pada 20 Sept 2019 dengan pihak pendakwaan telah memanggil dua saksi untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, Tengku Adnan telah memfailkan permohonan meminta Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kesnya atas alasan hakim itu telah membaca dan mempertimbangkan fakta dalam kes Tan.

Mohd Nazlan menolak permohonan Tengku Adnan yang kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada Februari lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak Tengku Adnan dan memerintahkan perbicaraan kes itu didengar di hadapan hakim lain atas alasan Mohd Nazlan mungkin bersikap berat sebelah.

Pada 17 Julai 2020, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu, sekali gus kes tersebut dikembalikan kepada Mohd Nazlan.

Tengku Adnan turut dituduh menerima untuk dirinya sejumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang merupakan pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) dan perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan telah selesai dan mahkamah menetapkan 21 Dis ini untuk keputusan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.