Kerajaan Laksana Semula Langkah Konsolidasi Fiskal Apabila Ekonomi Pulih

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Kerajaan akan kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal setelah ekonomi pulih dalam usaha memastikan paras pendedahan hutang dan liabiliti kewangan kerajaan Persekutuan kekal terkawal dan terurus, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata dalam situasi krisis pandemik COVID-19 yang masih berlarutan, kerajaan memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi terutama bagi memelihara kesejahteraan rakyat dan menyokong aktiviti perniagaan.

“Langkah (konsolidasi fiskal) tersebut termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta peningkatan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal kerajaan.

“Oleh yang demikian, keperluan pinjaman kerajaan akan dapat dikurangkan dan seterusnya ini akan dapat mengawal pendedahan hutang dan liabiliti kewangan kerajaan Persekutuan,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mengenai kedudukan hutang semasa negara dan nisbah hutang negara kepada KDNK.

Mohd Shahar berkata pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM1.257 trilion atau 87.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir September 2020.

Beliau berkata hutang kerajaan Persekutuan pada akhir September 2020 mencatatkan RM874.3 bilion atau 60.7 peratus kepada KDNK.

“Namun, berdasarkan pengiraan had statutori, nisbah hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) baru mencatatkan 56.6 peratus daripada KDNK iaitu kurang daripada had 60 peratus yang baharu ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan pembiayaan semula hutang Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara teratur mengikut jadual. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.