DUN Johor Sebulat Suara Sokong, Luluskan Belanjawan Johor 2021

ISKANDAR PUTERI, 6 Dis – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini sebulat suara menyokong dan meluluskan Belanjawan Negeri 2021.

Rang Undang Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 dan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Johor Tahun 2021 itu, diluluskan selepas dibahaskan selama enam hari mulai 29 Nov lepas.

Belanjawan dengan tema ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ yang dibentangkan pada 26 Nov lepas itu merupakan yang pertama dibentangkan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad selepas Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan pada 28 Feb lepas.

Belanjawan terbabit menggariskan 12 agenda utamanya iaitu Johor Tani, Johor Digital, Johor Niaga, Prasarana Johor, Governans Johor, Majestic Johor, Masyarakat Desa Johor, Orang Muda Johor, Johor Madani, Johor Prihatin dan Johor Berkebajikan.

Belanjawan 2021 Johor merupakan belanjawan defisit sebanyak RM248.14 juta, selepas Johor merekodkan belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut, sebelum ini.

Hasni ketika membentangkan belanjawan itu berkata ia berikutan unjuran hasil negeri sebanyak RM1.609 bilion manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.857 bilion.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan ucapan Belanjawan Johor 2021, menteri besar itu berkata belanjawan itu dirangka khusus bagi membantu rakyat Johor terutamanya dalam mendepani dan menangani situasi pandemik COVID-19.

“Saya akui proses melaksanakan semua titik fokus dalam Belanjawan Johor 2021 bukanlah suatu yang mudah. Pelaksanaan pelbagai inisiatif dijangka semakin mencabar rentetan daripada ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi negara dan global, khususnya dalam bidang kesihatan, ekonomi dan pelancongan.

“Negara kita Malaysia dan khususnya Johor tidak terkecuali menerima impak tersebut. Justeru, pembentangan Belanjawan Johor 2021 dirangka dan dihasilkan berdasarkan penilaian terhadap keperluan, keutamaan dan kehendak semasa rakyat Johor,” katanya.

Menurut Hasni, walaupun Belanjawan Johor 2021 merupakan belanjawan defisit, namun ia digubal berasaskan konsep ‘counter-cyclical measures’.

Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri Johor akan menangguhkan usaha-usaha konsolidasi fiskal pada masa akan datang sehingga ekonomi negeri kembali pulih sepenuhnya, katanya.

“Bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor mempunyai kekuatan rizab negeri yang cukup bagi menampung jumlah defisit ini.

“Kekuatan dalaman ini adalah dalam bentuk lebihan terkumpul dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM1.67 bilion, iaitu lebih daripada mencukupi untuk melaksanakan kesemua inisiatif termasuk perbelanjaan mengurus jabatan bagi tahun 2021.

“Namun, lebihan ini juga perlu diurus dengan cekap dan berkesan serta berhemah supaya mampu untuk menampung perbelanjaan belanjawan tahun-tahun mendatang yang lebih mencabar,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.