Hormat-menghormati Asas Pengukuhan Permuafakatan

KUALA  LUMPUR, 4 Dis – Segmen #CePumas bersama Ketua Pemuda PAS merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN)  Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin telah memberi pencerahan pendirian parti itu selain beberapa perkara yang berhubung kait dengan hubungan antara ketiga-tiga parti iaitu UMNO, PAS dan PPBM menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Rumusan berkenaan dinukilkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang  menjadi moderator kepada program tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Jelas Shahril beberapa rumusan dapat dibuat antaranya PAS tidak ada hasrat untuk tinggalkan UMNO, malah amat menghargai persahabatan bersama UMNO malah apabila ditanya, apa jaminan PAS tidak akan mufaraqah dengan UMNO sepertimana mereka berpisah dari Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu, jawapan Ketua Pemuda PAS jelas mahu memberi keyakinan kepada parti berkenaan.

Pada masa sama yang katanya, PAS juga tidak ada hasrat untuk tinggalkan PPBM dan soal berkenaan jelas, bukan hanya dalam wawancara  itu tetapi juga dalam kenyataan Mursyidul Am PAS tempoh hari selain dalam beberapa kenyataan PAS selama ini.

“PAS meletakkan aspirasi satu lawan satu (BN/PN lawan PH) dan mengelak pertembungan tiga penjuru sebagai syarat untuk menang PRU-15.  Jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara UMNO, PPBM dan Pakatan Harapan (PH) di sesebuah kawasan, maka PAS dalam “impossible situation” dan mungkin ambil pendekatan berkecuali. Yang untung adalah PH. PAS minta UMNO hormat pendiriannya sepertimana PAS juga akan hormat pendirian UMNO,” katanya.

Katanya lagi jika itu ketetapan dan jika itu kenyataan dan rumusan yang dapat dibuat maka bagi beliau terdapat beberapa perkara yang timbul dan apa tindakan UMNO.

“Bagi saya, kawan sudah bercakap terbuka. Kita boleh pilih untuk terkilan, marah, terasa. Boleh pilih untuk persoal keikhlasan pasca pembentukan Kerajaan PN. Boleh pilih untuk mengata. Boleh pilih untuk cakap “cukup hanya MN tak perlu PN” walhal rakan kita dalam MN telah tegaskan pendiriannya mahu bertiga, bukan berdua.

“Atau kita boleh pilih untuk tenang, hormat pendirian sahabat kita ‘TANPA’ kompromi aspirasi kita sebagai parti kebangsaan terbesar Malaysia. UMNO parti yang penuh bijaksana dan responsif kepada dinamika yang berubah. Saya pilih yang ini.

Sambil kita hormat pendirian PAS, saya yakin PAS juga hormat bahawa keputusan untuk UMNO adalah hak mutlak UMNO, tanpa paksaan sesiapa. Maka UMNO harus kembali kepada “option” yang ada dan jangan bazir masa bercakap tentang “option” yang tidak lagi wujud,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin pada program berkenaan berkata apa yang penting dan penekanan utama hari ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan dengan kata lain ialah pertandingan satu lawan satu dengan PH.

Beliau turut mengimbau senario sebelum ini yang mana pendekatan yang diambil oleh parti itu  adalah untuk menyatukan rakyat dan tidak dinafikan apa yang telah berlaku sehingga sekarang selain berlakunya pertukaran antara kerajaan PH kepada PN adalah semangat penyatuan ummah.

Katanya PH jatuh dan PN naik untuk menyelamatkan negara dari krisis politik pada waktu itu dan ia diselamatkan oleh individu-individu yang mempunyai ‘mind set’ yang sama  iaitu menyelamatkan rakyat daripada krisis.

“PAS mengambil pendekatan yang iaitu menyelamatkan rakyat melalui MN pada 14 Sept lalu melihat kepadanya penyatuan Melayu, itu berlaku sebelum episod seperti sekarang. Kita jangan nafikan dalam keadaan sekarang antara komponen yang menyebabkan berlakunya tertubuh kerajaan PN adalah dari kalangan Bersatu.

“Maka PAS mengambil pendekatan untuk menyatukan dan bersama dengan MN dan juga bersama-sama dengan PN dan didaftarkan sebagai parti politik. Saya tidak melihat satu yang janggal, sebab UMNO juga berada dalam ‘coalition’ BN, PAS berada dalam coalation PN dan kita berdua dalam MN dan tiada kejanggalan.

“Ia adalah satu formula yang terbaik untuk menenangkan atau memberikan masa ketiga-tiga parti untuk rakyat di bawah tenang dan untuk menerima dan belajar memaafkan. Isunya adalah untuk menyatukan dan melihat supaya pada PRU-15, pertembungan wajib antara satu lawan satu bersama dengan PH,’’ ujarnya. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.