KWSP Perlu Pamer Belas Ihsan, Pemuda UMNO Pahang Beri Contoh Dua Situasi

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang sekali lagi merayu bagi pihak rakyat agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempamerkan belas ihsannya kepada mereka yang sedang memerlukan.

Kata Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor, jelas kelihatan syarat pengeluaran yang diumum KWSP petang semalam tidak mendapat sambutan baik dari rakyat.

“Apa yang dituntut adalah pengeluaran sehingga RM10,000 tanpa syarat kelayakan serta pengeluaran dibuat secara sekaligus.

“Syarat yang dikenakan oleh pihak KWSP pula nampak tidak adil dan sukar dipenuhi terutama oleh golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Mohd Farid juga membawakan contoh bagi dua situasi bersandarkan syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh KWSP.

Situasi A;

Sulaiman bekerja sebagai pemandu van kilang dengan gaji RM1,500 sebulan. Memandangkan kilang kerap ditutup dan bilangan pekerja dikurangkan, majikan beliau mengurangkan gajinya sebanyak RM300 (20% dari gaji asal).

Sulaiman masih belum layak untuk mengeluarkan simpanan KWSPnya berdasarkan syarat kategori 1, beliau hanya layak sekiranya sebelum 1 Mac 2020 syarikat memberikannya elaun tertentu ataupun elaun kerja lebih masa (OT) yang kini tidak lagi dibayar berdasarkan syarat kategori 2. Jika memang hanya terima gaji pokok, wassalam!

Situasi B;

Idham merupakan seorang pemandu pesawat komersial, dengan gaji RM15,000 sebulan. Disebabkan kekurangan penumpang, syarikat telah memotong gajinya sebanyak RM4,500 (30% dari gaji asal).

Idham layak untuk mengeluarkan simpanan KWSPnya berdasarkan kategori 1, jika ada elaun dan kerja lebih masa yang juga dipotong, Idham juga layak dalam kategori 2.

Dalam keadaan ini, Idham lebih bernasib baik berbanding Sulaiman.

Berdasarkan kepada kedua-dua situasi kata Mohd Farid, ianya jelas bahawa KWSP tidak berlaku adil kepada mereka yang berpendapatan rendah.

“Rakyat memahami bahawa kesan ekonomi yang hadir bersama wabak COVID-19 ini memberi kesan buruk tidak kira apa juga pendapatan yang mereka terima.

“Justeru, cadangan asal pengeluaran RM10,000 merentasi semua golongan adalah cadangan yang munasabah dan adil kepada semua pihak. Jika simpanan kurang dari RM10,000, maka had tertinggi boleh ditetapkan pada paras RM9,900,” ujarnya.

Sementelah pula tambahnya, bagi mereka yang masih bekerja potongan KWSP bulanan tetap perlu dilaksanakan sama ada oleh pihak pekerja mahupun majikan.

Untuk rekod, lewat petang semalam KWSP mengumumkan bahawa pencarum yang layak membuat permohonan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Menurut KWSP, kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020 dan tiada dokumen sokongan diperlukan.

Bagi kategori 2, KWSP berkata ia untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen sokongan yang diberikan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.