Johor Mula Hantar Bakul Makanan Untuk Rakyat Malaysia Di Singapura

ISKANDAR PUTERI, 3 Dis – Kerajaan Johor hari ini memulakan misi penghantaran bakul makanan bagi membantu rakyat negeri itu serta pekerja Malaysia yang berada di Singapura.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata untuk fasa pertama, sebanyak 300 bakul makanan bernilai RM30,000, mengandungi pek ‘makanan sedia makan’, makanan ringan, selimut serta pek penjagaan diri dihantar.

“Kerajaan negeri merancang mengagihkan sebanyak 1,000 bakul makanan, namun untuk fasa pertama ini kita menghantar 300 bakul makanan dahulu sebagaimana dinasihatkan kedutaan kita di Singapura,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan lori Misi Bantuan Bakul Makanan kepada rakyat Malaysia di Singapura di Dataran Mahkota Kota Iskandar di sini.

Menurutnya kerajaan negeri juga akan meneruskan inisiatif itu selepas 1,000 bakul berkenaan selesai diagih.

Khamis lepas, Hasni mengumumkan insiatif bantuan bakul makanan dalam Belanjawan Johor 2021 bagi membantu rakyat Malaysia yang berada di Singapura. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.