Johor Destinasi Pelancongan Tahun 2019 Turun Ke Tangga Ketujuh, Berbanding Ketiga Pada 2016-2018

ISKANDAR PUTERI, 3 Dis – Kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan dalam negara jatuh ke tangga ketujuh tahun lepas berbanding ketiga pada 2016 hingga 2018, menurut Laporan Tourism Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata antara sebab berlakunya penurunan ranking itu adalah kerana kurangnya promosi atau hebahan yang efektif dan strategik terhadap produk-produk pelancongan Johor.

“Sebab itu, Tourism Johor kini memberikan tumpuan kepada promosi dan pemasaran. Fasa pertama akan lebih tertumpu kepada pelancongan domestik manakala fasa kedua menumpukan pelancong antarabangsa,” katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini.

Onn Hafiz berkata usaha mempromosikan pelancongan Johor akan dilakukan melalui pelbagai medium termasuk mengadakan lawatan suai kenal bersama media, menyebar luas maklumat melalui media sosial dan penglibatan selebriti terkenal untuk memperkenalkan destinasi menarik.

Selain itu, penghasilan video dan artikel mengenai produk-produk pelancongan Johor juga akan dibangunkan dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Mandarin, Bahasa Jepun, Bahasa Korea dan Bahasa Arab agar dapat diketengah dan dipromosikan dengan lebih agresif ke China, Jepun, Korea serta Timur tengah.

“Saya juga ingin merayu kepada semua ahli-ahli yang berhormat dalam Dewan yang mulia ini untuk sama-sama membantu mempromosikan produk- produk pelancongan supaya rating Johor diletakkan di tempat yang sepatutnya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.