i-Sinar Bakal Menyinari Atau Sebaliknya… Kebajikan Rakyat Satu Keutamaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pandangan rakyat berhubung kenyataan terbaru Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai kriteria dan syarat terkini bagi pengeluaran Akaun 1 i-Sinar.

“i-Sinar bakal menyinari atau sebaliknya? Pendapat anda bagaimana?,” soalnya sambil mengucapkan selamat pagi kepada semua netizen dalam satu hantaran di Facebook awal pagi tadi.

Untuk rekod, lewat petang semalam KWSP mengumumkan bahawa pencarum yang layak membuat permohonan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Menurut KWSP, kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020 dan tiada dokumen sokongan diperlukan.

Bagi kategori 2, KWSP berkata ia untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

Ternyata hantaran Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mendapat pelbagai reaksi dari pelayar maya dan beliau turut mengucapkan terima kasih atas pandangan yang diberikan.

“Kebajikan rakyat adalah satu keutamaan,” tegasnya ketika membalas di ruangan komen.

Ketika berita ini ditulis, lebih dua ribu komen membanjiri dan rata-rata meluahkan perasaan tidak berpuas hati dengan kriteria dan syarat yang diputuskan oleh KWSP dan juga kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Antara komen; Azlinah Ina, mempersoalkan tindakan KWSP itu yang jelas tidak mempermudahkan rakyat.

“Kenapa tidak nmpk seperti di permudahkan untuk pencarum.. sepatut yg penerima i lestari layak automatik i sinar.”

Bagi Hazmi Mie pula amat mengharapkan BN memperjuangkan isu tersebut untuk rakyat.

“i-kecewa sangat sangat dato, harap2 BN fight untuk rakyat.”

Manakala bagi Chik Peace memberi contoh bersandarkan syarat yang ditetapkan oleh KWSP itu.

“Makcik kiah bekerja sebagai cleaner yang bergaji RM1,000.00 , ketika pandemik syarikat telah kurangkan gaji makcik kiah sebanyak 20%, tinggallah gaji makcik kiah RM800. Maka makcik kiah pun pergi ke kwsp untuk memohon i-sinar. Tetapi tidak layak kerana 20% bukan 30%.

“Lain pula cerita Bidin. Bidin bekerja sebagai jurutera yang bergaji RM10.000 dan dikurangkan gaji 30% kerana pandemik. Maka gaji Bidin hanya berbaki RM7,000.
Tetapi Bidin lulus i sinar.

“Bidin tersenyum dan makcik Kiah hanya mampu makan Super Ring dan menonton Buletin TV3.”

Yrzan Rissan juga meluahkan perasaan tidak puas hati dengan syarat yang ditetapkan.

“Xtau nak cakap ape dgn syarat baru ni…. ape laaaa nak di halang rakyat utk keluarkan duit kwsp dlm waktu2 gawat ni? Atleast duit tu nanti bakal merancakkan balik ekonomi kan?”

Ahmad Suhaimi pula berkata sudah pasti rakyat akan marah kepada KWSP dan kerajaan PN serta perasaan tersebut akan turut berjangkit kepada UMNO.

Begitu juga dengan pendapat MaRk Lie yang agak keras mengkritik dengan berkata syarat yang ditetapkan mengarut dan menyusahkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.