Menteri Adakan Pertemuan Dengan Pihak Zoo Negara Bincang Pengukuhan Operasi

PUTRAJAYA, 2 Dis – Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Zoo Negara pada hari Khamis ini untuk membincangkan mekanisme pengukuhan operasi Zoo Negara.

Shamsul Anuar dalam kenyataan hari ini berkata perbincangan itu akan meliputi aspek tadbir urus supaya Zoo Negara lebih berdaya maju dan pada masa yang sama memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.

Beliau berkata kementerian sentiasa berusaha untuk menyokong dan membantu inisiatif Zoo Negara walaupun ia dimiliki oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan beroperasi sebagai entiti perniagaan yang diberikan permit pengendalian zoo secara tahunan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar RM1.3 juta telah disalurkan kepada Zoo Negara pada 10 April untuk menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan penternakan dan ubat-ubatan, di samping diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam bulan, semuanya diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.

“Bantuan kerajaan kepada Zoo Negara bukan sahaja dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebaliknya peruntukan kewangan telah disalur sejak awal penubuhan Zoo Negara,” katanya.

Setakat ini, katanya kerajaan telah menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi pelbagai projek menaik taraf Zoo Negara sejak Rancangan Malaysia Ketujuh.

Shamsul Anuar berkata pihak kementerian mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan di Zoo Negara yang berdepan dengan krisis kewangan berikutan PKP.

Zoo Negara telah berjaya mengumpul sumbangan RM10.6 juta daripada pelbagai pihak dalam bentuk kewangan dan makanan haiwan antara Januari dan September 2020, dan jumlah itu sepatutnya lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan makanan haiwan berdasarkan rekod perbelanjaan Zoo Negara, katanya.

“Pihak zoo hendaklah menguruskan sumbangan yang diterima secara telus dan berhemah,” tambahnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.