Kerajaan Sedia Empat Entiti Bertujuan Khas Tingkatkan Ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kerajaan telah menyediakan empat entiti bertujuan khas untuk meningkatkan ekonomi Bumiputera, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata empat entiti itu ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB).

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan dan modal insan, keusahawanan dan perniagaan, pemilikan kekayaan serta pemilikan ekuiti korporat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jumlah dan nama dana untuk meningkatkan ekonomi Bumiputera yang disediakan kepada semua kementerian.

Katanya sejak penubuhannya, MARA telah diperuntukkan sejumlah RM20 bilion dalam bentuk perbelanjaan pembangunan (DE).

“Sehingga kini, 1.15 juta Bumiputera telah menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif MARA dalam bidang keusahawanan, perniagaan dan pelaburan manakala seramai 1.02 juta Bumiputera telah menerima manfaat dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Arthur berkata kerajaan melalui EKUINAS telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM4 bilion menerusi Dana Ekuiti Nasional.

“Daripada peruntukan tersebut, sehingga kini EKUINAS telah menghasilkan pulangan pelaburan sebanyak RM3.2 bilion dalam 41 syarikat,” katanya.

Katanya EKUINAS juga telah berjaya meningkatkan bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam syarikat yang dilabur dengan mencatatkan penyertaan 23.5 peratus Bumiputera di peringkat pengurusan tinggi dan 14.1 peratus di lain-lain peringkat.

Beliau berkata melalui Dana Mudahcara, TERAJU dengan kerjasama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM781.1 juta kepada syarikat Bumiputera.

“Dana ini telah memberi manfaat kepada 252 syarikat untuk melaksanakan 276 projek yang menjana pelaburan bernilai RM6.4 bilion dan mewujudkan lebih 15,000 pekerjaan baharu,” katanya.

Dalam meningkatkan pemilikan kekayaan Bumiputera, katanya kerajaan melalui Dana Pelaburan Hartanah di bawah PHB telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM1.145 bilion bagi pembelian dan pembangunan hartanah komersial.

“Nilai hartanah tersebut telah disuntik ke dalam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang memberi manfaat kepada lebih 75,000 pelabur Bumiputera,” katanya.

Katanya kerajaan komited untuk meneruskan agenda pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera.

“Dasar, strategi dan inisiatif baharu yang lebih strategik akan terus diperkukuh untuk mencapai kesaksamaan keberhasilan Bumiputera.

“Usaha ini akan diperincikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun depan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.