Kembalikan Geran Tanam Semula Kelapa Sawit, Getah Yang PH Hentikan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengembalikan semula geran tanam semula kelapa sawit dan getah yang dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO di Twitternya berkata demikian merujuk kepada sebuah laporan akhbar berkaitan peningkatan hasil kerajaan dari cukai ‘durian runtuh’ kesan peningkatan harga kelapa sawit.

“Cukai ‘durian runtuh’ sawit syarikat besar cecah RM500 juta tahun 2021. Kata Yang Berhormat Machang (Datuk Ahmad Jazlan Yaakub), akibat harga sawit tinggi lebih RM3,000 setan minyak dan sekitar RM700 Buah Tandan Segar (BTS).

“India pula turunkan 10% cukai import,” katanya yang turut ‘tag’ menteri berkenaan di ciapannya itu memohon dikembalikan semula geran tersebut.


Baru-baru ini, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata kerajaan dijangka memperoleh RM500 juta menerusi kutipan cukai ‘durian runtuh’ daripada industri sawit tahun depan, jika harga komoditi itu kekal di atas paras RM3,000 satu tan.

Cukai ‘durian runtuh’ atau keuntungan luar biasa akan hanya dikenakan ke atas penanam sekiranya harga minyak sawit mentah (MSM) melepasi paras nilai ambang yang ditetapkan iaitu RM2,500 di Semenanjung Malaysia dan RM3,000 di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kutipan cukai itu tidak akan dilaksanakan jika harga MSM jatuh di bawah paras itu.

Manakala kerajaan India pula pada minggu lepas mengurangkan duti import sawit daripada 37.5 peratus kepada 27.5 peratus.

Untuk rekod, pada Ogos tahun lepas, Menteri Industri Utama kerajaan PH, Teresa Kok berkata kerajaan PH tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini sebaliknya diperkenalkan dua skim iaitu Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.