Bajet 2021 Johor: ADUN Panti Lontarkan Beberapa Tumpuan Untuk Kepentingan Rakyat

JOHOR BAHRU, 2 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim melontarkan beberapa cadangan dan melihat beberapa keperluan yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan negeri dalam usaha melonjakkan lagi agenda pembangunan dan juga tumpuan terhadap rakyat di negeri berkenaan.

Menerusi perbahasan Belanjawan Johor 2021 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri tersebut, antara yang dibangkitkan adalah program jaminan bekalan makanan dan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian selain gelombang digital dalam sektor ekonomi.

Menurut beliau kerajaan perlu menggembleng semua sumber bagi menggerakkan dan meningkatkan produksi makanan domestik dengan bantuan dan komponen teknologi baharu, teknologi pintar dan jaringan pertanian baharu.

“Sudah tiba masanya, negeri Johor mengurangkan kebergantungan kepada negeri lain dan negara luar dalam mendapatkan bekalan makanan.

“Melalui program pemilikan teknologi mekanisasi atau automasi, ianya bukan sahaja meningkatkan produktiviti hasil tanaman malah penglibatan golongan orang muda dalam sektor pertanian. Sektor pertanian yang sebelum ini dilihat tidak menarik dan tidak seksi akan dilihat sangat selari dengan trend dan orang muda tentunya akan lebih berminat,” katanya.

Menyentuh soal gelombang digital dalam sektor ekonomi, beliau menjelaskan kerajaan tidak boleh berharap dengan sumber pendapatan yang konvensional dan oleh itu tumpuan yang diberikan oleh kerajaan negeri tentang Johor Digital ini dilihat banyak peluang sebagai sumber baharu dan ekonomi baharu.

“Saya amat yakin suasana dan permintaan tinggi tentang ekonomi digital ketika ini, ianya akan lebih daripada sasaran 20% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pengurusan dan pembangunan data diakui sangat penting.

“Antara langkah yang boleh dilakukan ialah kolaborasi dan perkongsian data antara agensi-agensi negeri serta perkongsian data antara agensi kerajaan pusat dan negeri. Ianya juga perlu dibuat dengan lebih mudah dengan kos yang minimum,” ujarnya lagi.

Menerusi perbahasannya itu juga, beliau turut menyentuh soal tuntutan digital dalam pembelajaran dan pengajaran.

“Saya telah mencadangkan agar kerjasama kerajaan dengan swasta untuk pembelian peranti seperti komputer, telefon pintar dan mesin pencetak secara mudah dengan pemberian rebat atau secara ansuran.

“Keduanya, memberi kebenaran kepada pelajar yang betul-betul tidak berkemampuan untuk datang ke sekolah mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi menggunakan kemudahan di makmal komputer agar pelajar dapat mengikut sesi pembelajaran atas talian.

“Pelaksanaan Johor Wi-Fi 2.0 turut perlu dilihat kepada dua objektif iaitu kemudahan capaian internet secara percuma dan capaian internet bagi kawasan yang mengalami masalah akses. Sebagai contoh, di kawasan Panti iaitu di Kampung Orang Asli Sayong Pinang dan perkampungan lain yang juga mengalami masalah yang sama, walaupun mungkin tiada nilai komersial di lokasi ini,” katanya.

Maka tambahnya, intervensi kerajaan amatlah diperlukan bersama syarikat telekomunikasi untuk meluaskan capaian serta memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang bermasalah. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.