Tingkatkan Kemudahan Jalur Lebar Hadapi Norma Baharu Pendidikan – ADUN Palong

SEREMBAN, 1 Dis – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan hari ini mencadangkan supaya kerajaan negeri menaik taraf kemudahan jalur lebar di negeri ini terutama dalam menghadapi norma baharu pendidikan susulan pandemik COVID-19.

Mustapha Nagoor (BN-Palong) berkata bidang pendidikan memerlukan capaian Internet yang baik untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lancar selain sektor perniagaan yang banyak beralih kepada dalam talian ketika ini.

“Hari ini kita lihat sektor pendidikan memerlukan jalinan Internet yang baik…barangkali RM2 juta daripada peruntukan pemasangan papan iklan yang belum dibuat sekarang boleh disalurkan untuk menambah baik capaian Internet terutama di kawasan luar bandar dan Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2021) 2020 bersekali dengan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Diraja dan Usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2021 pada persidangan DUN Negeri Sembilan, hari ini.

Senada dengannya, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemencheh) berkata ketidakupayaan ibu bapa terutama dalam kalangan golongan kurang berkemampuan (B40) untuk menyediakan peranti dan peralatan pintar kepada anak mereka turut memberi kesan terhadap pembelajaran.

Justeru katanya, kerajaan negeri perlu mempertimbang untuk menyalurkan bantuan khas kira-kira RM50 secara sekali bayar (one-off) kepada semua pelajar dalam kategori B40 bagi menampung kos data Internet untuk tujuan pembelajaran.

“Penggunaan data Internet yang berterusan ini perlu untuk memastikan semua pelajar tidak terkecuali menerima pembelajaran, sebahagian pelajar B40 ini tak dapat ikuti kelas dalam talian, bukan tak mahu belajar tapi tidak mampu dari segi kemudahan Internet,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya pusat Internet komuniti, kampung dan Felda diperkasakan bagi memenuhi keperluan mendesak terutama kepada pelajar daripada kelompok B40 mendapatkan kemudahan Internet untuk PdP.

Persidangan DUN bersambung esok. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.