NTF Bincang Strategi Perkukuh Kawalan Sempadan Negara Minggu Ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Berikutan insiden anggota pasukan keselamatan di sempadan negara ditembak penyeludup, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan membincangkan strategi memperketat, mengukuh dan memperkasa kawalan di sempadan negara dalam minggu ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat kemungkinan keperluan untuk menambah anggota pasukan unit beruniform iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sempadan negara.

“… dan mereka (NTF) akan melihat secara menyeluruh mengenai keperluan-keperluan lain sama ada ingin mendirikan pos-pos kawalan baharu dan sebagainya atau keperluan peralatan dari segi ketenteraan, polis dan sebagainya,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kementerian Pertahanan semalam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata rakyat terutama penduduk di kawasan utara Semenanjung tidak perlu bimbang kerana NTF sedang menambah kekuatan anggota pasukan keselamatan di kawasan terbabit.

“Panglima ATM (Jen Tan Sri Affendi Buang) atau Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) difahamkan akan memberikan maklumat terperinci berkenaan langkah-langkah yang akan diambil minggu ini,” katanya.

Khamis lepas, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menambah bilangan anggota ATM dan aset untuk tujuan penugasan di sempadan negara bagi memperkasa kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pada masa sama pihaknya terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat bersama-sama mempertingkatkan aspek kesiagaan operasi di kawasan itu.

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Norihan a/l Tari, 39 cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar dalam kejadian Selasa lepas.

Pada hari berikutnya seorang lagi anggota daripada batalion sama sedang bertugas di Pos M16 di Bukit Kayu Hitam cedera selepas terkena tembakan senapang angin, juga dipercayai angkara penyeludup. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.