Kerajaan Pahang Miliki Makmal Analisis Pertanian Pertama Bernilai RM1.2 Juta

KUANTAN, 1 Dis – Kerajaan Pahang menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) kini memiliki makmal analisis pertanian termasuk bagi tanaman kelapa sawit yang pertama bernilai RM1.2 juta, bagi menjalankan kajian untuk meningkatkan hasil komoditi tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata makmal yang dibangunkan dengan menggunakan teknologi dari Amerika Syarikat itu telah mula beroperasi pada 1 Nov lepas dan menyifatkan kewujudannya selari dengan perkembangan semasa teknologi pertanian.

Makmal itu, menurut Wan Rosdy dimiliki sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP) Corporation Sdn Bhd dan kerja membangunkannya bermula sejak pertengahan Ogos lepas.

“Fungsi utama makmal ini adalah memberi sokongan teknikal kepada ahli agronomi iaitu pakar bidang pengeluaran pertanian dan pengurusan tanah selain boleh menjalankan analisis terhadap 5,000 sampel daun, tanah dan baja dalam setahun.

“Kita juga berharap syarikat perladangan, pertanian dan pihak swasta berkaitan pertanian atau perladangan turut menggunakan kemudahan makmal ini bagi sama-sama kita memajukan bidang pertanian untuk kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan makmal itu di Agro Resort Semuji, Gambang di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata pembangunan makmal tersebut juga selari dengan peningkatan keluasan ladang kelapa sawit kumpulan PKPP yang secara keseluruhannya seluas 80,000 hektar, bagi memastikan jumlah pengeluaran bertambah dan dalam masa sama, mengekalkan amalan pertanian baik.

Selain itu, kemajuan teknologi pertanian juga mengubah kaedah penyelesaian permasalahan berkaitan pertanian seperti kemerosotan pengeluaran kelapa sawit yang dahulunya hanya berdasarkan kepada pengalaman mereka yang lebih ‘senior’.

“Jika dahulu, kita berdasarkan pengalaman, namun kini penyelesaian boleh juga menerusi uji kaji atau analisis makmal. Sebagai contoh, jika ada masalah pengeluaran, kita boleh mengambil sampel daripada pokok terlibat untuk mengetahui dengan lebih terperinci masalah yang dihadapi.

“Berdasarkan keputusan makmal, mungkin baja yang lebih baik diperlukan atau ada teknik yang lebih sesuai perlu digunakan. Semua ini menjadi nilai tambah kepada mereka yang terlibat dalam pertanian, selain berpandu kepada pengalaman,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline