311 Individu Ditahan Kerana Ingkar Arahan PKP

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Seramai 311 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 306 daripadanya dikompaun manakala lima individu direman.

“Antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (97), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69), rentas negeri/daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (30), aktiviti pusat hiburan (26) dan lain-lain (14),” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata Operasi Benteng semalam menahan 14 pendatang tanpa izin serta merampas tiga bot dan satu kenderaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 79,128 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 78 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,270 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 502 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 67,356 individu telah dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Mengenai Op Sanitasi Awam COVID-19 semalam, katanya sebanyak 40 operasi sanitasi meliputi 11 zon merah, empat zon jingga, sembilan zon kuning dan empat zon hijau membabitkan 12 negeri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.