Pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan COVID-19 Dibentang Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) (COVID-19)) 2020 bagi perbelanjaan tambahan RM20 bilion dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) (COVID-19)) (Pindaan) 2020 itu dibentang Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Pindaan itu meliputi amaun bagi program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja, serta bantuan latihan berjumlah RM18.3 bilion daripada RM16.8 bilion.

Pindaan juga melibatkan amaun Bantuan Prihatin Nasional berjumlah RM25.2 bilion daripada RM11.2 bilion serta Geran Prihatin PKS iaitu RM2.4 bilion daripada RM1.9 bilion.

Selain itu, amaun bagi perbelanjaan berkaitan COVID-19 dipinda kepada RM5 bilion daripada RM1 bilion.

Justeru, jumlah keseluruhan program di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi untuk mengurangkan kesan COVID-19 dipinda kepada RM65 bilion berbanding RM45 bilion sebelum ini.

Tengku Zafrul berkata bacaan kali kedua untuk rang undang-undang berkenaan akan dibuat pada persidangan ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.